Antara penyokong yang hadir menunaikan solat hajat dan doa selamat pada Malam Solidariti Faisal Halim Bersama MPKj dan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor di Stadium Kajang pada 17 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

200 penyokong hadiri malam solidariti Faisal, doakan kesembuhan

HULU LANGAT, 17 MEI: Kira-kira 200 penyokong Selangor FC memenuhi Stadium Kajang di sini malam ini sebagai tanda solidariti terhadap pemain pasukan itu yang cedera disimbah asid.

Malam Solidariti Faisal Halim Bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor dimulakan dengan solat Isyak dan hajat berjemaah serta doa selamat.

Hadir sama Yang Dipertua MPKj Nazli Md Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Johan Kamal Hamidon dan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.

Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (tengah) menandatangani banner sebagai solidariti kepada Faisal Halim diperhatikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Nazli Md Taib (kanan) pada pada Malam Solidariti Faisal Halim Bersama MPKj dan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor di Stadium Kajang pada 17 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Program kemudian diteruskan dengan penyokong dan hadirin menurunkan tandatangan solidariti kepada Faisal di kain rentang besar sebagai tanda sokongan dan menaikkan semangat supaya cepat sembuh.

Turut diagihkan 500 baju tertera tulisan ‘Stand With Faisal Halim Stop The Violence’ kepada hadirin.

Antara penyokong cilik yang hadir pada Malam Solidariti Faisal Halim Bersama MPKj dan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor di Stadium Kajang pada 17 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pada 5 Mei lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya dan mengalami lecur tahap empat.

Pemain sayap lincah berusia 26 tahun itu kini memasuki fasa pemulihan baharu iaitu rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.

Pengurusan Selangor FC turut melancarkan kempen solidariti terhadap Faisal dengan paparan mesej sokongan pada papan iklan statik dan elektronik di setiap pihak berkuasa tempatan.


Pengarang :