. EXCO Belia Najwan Halimi bersama wakil belia selepas penyerahan surat lantikan ketika Majlis taklimat penggerak belia Selangor sesi 2024/2025 di Dewan Jubli Perak, Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 17 mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

208 PeBS terima surat lantikan, penggerak dasar peringkat akar umbi

SHAH ALAM, 18 MEI: Seramai 208 Penggerak Belia Selangor (PeBS) menerima surat pelantikan secara rasmi di Dewan Jubli Perak di sini, malam tadi.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata PeBS yang dikenali sebagai Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sebelum ini masih mengekalkan konsep sama sejak ditubuh pada 2009.

“Konsepnya masih sama iaitu PeBS yang terdiri dalam kalangan anak muda seawal usia 18 tahun akan membantu menerangkan dasar dan agenda Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi.

“Kita juga akan selaraskan program PeBS dengan dasar belia Selangor dan aspirasi 10 teras Rakan Muda untuk mempelbagaikan aktiviti pada masa akan datang untuk bantu belia,” katanya.

Ditemui selepas Majlis Taklimat PeBS di Dewan Jubli Perak di sini, Mohd Najwan berharap anggota PeBS itu juga dapat memperbanyakkan program berbentuk literasi politik dan memupuk semangat nasionalisme.

“Saya berharap semua ahli PeBS dapat menggunakan platform sebaiknya dan menjadi rencana atau kerangka dalam melahirkan pimpinan generasi muda akan datang.

“Jadikan PeBS sebagai ‘role model’ dan contoh terbaik kepada generasi lain di Selangor,” katanya yang juga pernah menjadi anggota PeBS kumpulan pertama.

PeBS dijenamakan dan disusun semula pada 2021 daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang mula diperkenalkan sejak 2009.

Pemimpin belia setempat itu memainkan peranan kepada agenda pembangunan generasi muda di setiap Dewan Undangan Negeri.


Pengarang :