Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor Dato’ Johary Anuar berucap sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sanjungan Budi Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) 2023 di Dewan Hamzah, MBDK pada 17 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB dijangka bentang kajian separuh penggal RS-1 Julai depan

KLANG, 18 MEI: Kajian separuh penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) akan dibentangkan bulan depan atau selewat-lewatnya Julai, kata timbalan setiausaha kerajaan negeri (Pembangunan).

Dato’ Johary Anuar berkata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan membentangkannya dalam satu simposium libat urus serta berkongsi kajian tersebut.

“Apa kepentingannya di sini adalah satu bab penting yang mana akan sentuh perkara berkaitan cadangan pembangunan wilayah di seluruh Selangor.

“Perkongsian ini adalah satu pendekatan supaya semua pihak dapat sama-sama beri sumbangan dan hala tuju yang digaris dalam RS-1 dapat diketengahkan,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sanjungan Budi Majlis Bandaraya Diraja Klang 2023 di Dewan Hamzah di sini, semalam.

RS-1 yang dibentang dua tahun lalu menggariskan 14 petunjuk makro bagi mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti kehidupan rakyat.

Pelan yang bertujuan menangani cabaran semasa digerakkan menerusi empat teras, lima pemangkin dasar dan 262 projek serta inisiatif melalui 19 pemacu perubahan.

Empat teras strategik RS-1 meliputi pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian serta peningkatan kecekapan tadbir urus.


Pengarang :