Pemain Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan FC Levy Clement Mandinda (kanan) pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 4 April 2023. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Bermula dari program realiti, Faisal cipta gol tercantik Piala Asia

Oleh NAZLI IBRAHIM

Nama Mohamad Faisal Abdul Halim atau lebih dikenali Faisal Halim kian meniti di bibir peminat bola sepak negara dengan kelincahan atas padang dan gaya ‘siu’ ketika meraikan jaringan yang diinspirasi bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo.

Meski bertubuh kecil, aksi pemain kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang itu sentiasa meresahkan pertahanan lawan setiap kali serangan dimulakan dari sayap kiri.

Berusia 26 tahun, bakat pemain sinonim dengan panggilan Mickey itu dicungkil sejak bangku sekolah lagi menerusi program realiti Soccer Kids musim ketiga pada 2010 dan Mencari Ramli empat tahun kemudian.

Dengan keazaman dan kesungguhan untuk bermain di peringkat tertinggi, Faisal muncul antara pelatih terbaik program realiti berkenaan, membolehkan beliau merasai pengalaman berlatih bersama pemain Manchester United di Old Trafford dan Akademi Tottenham Hotspur di United Kingdom.

Bakatnya terus menyinar selepas terpilih menyertai skuad belia Pulau Pinang seawal usia 16 tahun pada 2014. Bertitik tolak itu, Faisal diserap ke pasukan utama Harimau Kumbang untuk beraksi di Liga Super setahun kemudian ketika berusia 17 tahun.

Corak permainan Faisal yang dinamik dan kepantasan lariannya memikat pengurusan Pahang (kini Sri Pahang FC). Peluang yang diberi sejak 2016 dimanfaat sebaik mungkin dan hasilnya beliau membantu skuad Tok Gajah menjulang Piala FA pada 2018.

Lima tahun bersama pasukan tersebut, Faisal merekod sepuluh jaringan dan empat bantuan gol dalam 79 penampilan.

Mahukan angin perubahan, beliau menyertai satu lagi pasukan dari Pantai Timur iaitu Terengganu dengan kontrak dua tahun pada 2020.

Di bawah bimbingan Nafuzi Zain ketika itu, Faisal terus menyerlah dan berjaya menjaringkan gol pertama dalam kancah Liga Super ketika membantu Terengganu menewaskan Perak 2-0 di Stadium Ipoh pada 2021.

Di Terengganu namanya terus melonjak selepas kejayaan menghasilkan 27 jaringan dan 42 bantuan gol dalam 101 perlawanan serta membantu pasukan muncul naib juara Liga Super dan Piala FA pada 2022.

Menjelang musim 2023, Faisal diumum tonggak baharu Selangor FC pada 22 Disember 2022.

Perpindahan itu turut melonjakkan nilai pasarannya daripada RM1.78 juta (Oktober 2022) kepada RM2.22 juta pada Mei 2023, menurut portal data pemain dan pasukan yang berpangkalan di Jerman, Transfermarkt.com

Nilai terkini Faisal setakat 18 Disember tahun lalu mencecah RM2.37 juta dan menjadikan beliau antara pemain tempatan paling bernilai tinggi.

Beliau turut muncul antara pemain tempatan yang menyerlah apabila meledak 13 gol dan melakar 11 bantuan gol dalam 28 penampilan pada musim pertamanya bersama Red Giants.

Faisal turut berkongsi gelaran penjaring gol terbanyak Liga Super bagi kategori pemain tempatan bersama tonggak Johor Darul Ta’zim Arif Aiman Hanapi dengan 12 gol.

Demi negara

Faisal sebahagian pemain skuad Harimau Muda bawah 19 tahun pada 2016. Beliau membuat penampilan pertama bersama pasukan senior ketika menentang Nepal pada Jun 2019.

Dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, Faisal dianggap antara pemain memiliki semangat patriotik tinggi dan tidak pernah menolak panggilan menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya.

Sikap itu ditonjolkan ketika beliau turut membawa cabaran skuad kebangsaan dalam Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada saat kebanyakan pemain utama lain enggan menyertai kem latihan kerana kejohanan itu di luar kalendar Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Dalam kejohanan tersebut, Faisal yang kali pertama diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan turut tersenarai dalam kesebelasan utama terbaik kejohanan dengan menjaringkan empat gol.

Bersama Harimau Malaya, pemain sayap kiri itu meledak jaringan 15 kali dan tujuh bantuan gol dalam 34 penampilan.

Kemuncak persembahannya diteruskan dalam Piala Asia 2023 Qatar apabila jaringannya ketika menentang Korea Selatan dinobatkan sebagai gol terbaik kejohanan.


Pengarang :