Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika Sesi Dialog Pondok Siyasah 2024 di Swiss-Garden Hotel, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 18 Mei 2024. 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pondok Siyasah buka mata peserta, pengisian bersifat akademik

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Program Sesi Dialog Pondok Siyasah 2024 bersama Dato’ Menteri Besar membuka mata seramai 60 peserta yang menghadiri program literasi politik berteras Islam kontemporari itu.

Diadakan di Hotel Swiss-Garden Bukit Bintang di sini, malam tadi, rata-rata peserta meluahkan rasa gembira dan berpuas hati terhadap ulasan panelis istimewa iaitu Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Muhammad Ali Al-Husaini Kamarudin, 26, berkata Pondok Siyasah kali ini disifatkan antara yang terbaik berikutan pengisiannya lebih ke arah akademik.

“Ini kali ketiga saya sertai Pondok Siyasah. Pada pendapat saya, sesi kali ini adalah yang terbaik kerana ia lebih ke arah akademik dan juga langsung tidak bosan.

“Panelis iaitu Dato’ Menteri Besar sendiri mengulas pelbagai perkara dengan sangat baik. Langsung tiada unsur politik dan ini yang saya mahukan,” katanya kepada Selangorkini.

Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Nur Hanan Mohammad Zamri, 19, berkata program itu memberi banyak pengetahuan baharu selain mengingatkan semula dengan ilmu sejarah yang dipelajari di sekolah.

Jelas anak kelahiran Negeri Sembilan itu, beliau berazam keluar daripada zon selesa selain berhasrat menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai jambatan untuk membantu masyarakat.

“Program ini mengingatkan saya semula dengan ilmu sejarah yang telah dipelajari. Saya juga dapat tahu banyak benda baharu di sekeliling saya dan banyak lagi yang perlu saya belajar.

“Selepas ini saya perlu belajar untuk keluar dari zon selesa. Saya meminati politik sejak berumur 14 tahun tetapi saya berhasrat mahu bergerak melalui NGO untuk berkhidmat kepada komuniti,” katanya.

Pondok Siyasah dijalankan selama tiga hari dua malam dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti ceramah, lakon-peranan, latihan dalam kumpulan dan sesi dialog.

Program inisiatif Team Selangor itu disertai 60 belia termasuk 20 peserta Pondok Siyasah fasa lanjutan yang terdiri daripada mahasiswa Selangor serta anak muda yang meminati wacana politik Islam.

 


Pengarang :