PETALING JAYA, 19 MEI: Lukisan mural gergasi memaparkan wajah pemain Selangor FC Faisal Halim di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi tumpuan penyokong dalam perlawanan Liga Super antara Selangor FC menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) malam tadi.
Jaringan tunggal Alif Haiqal Lau membantu Selangor FC meraih mata penuh ke atas Kedah 1-0 sekali gus pasukan Gergasi Merah membawa pulang tiga mata.
Mural dengan catatan ‘A Dark Moment in Football, That Unites Us Together We Are Faisal Halim’ itu menjadi tumpuan penyokong pelbagai peringkat usia.
Rata-rata penyokong mengabadikan kenangan untuk bergambar bersama mural Faisal sebagai tanda sokongan terhadap pemain kebangsaan itu.
Pesara Azman Idris,56, berkata beliau datang ke stadium untuk memberi sokongan kepada Selangor FC agar beraksi hebat biarpun tanpa kehadiran Faisal.
“Sebagai peminat bola sepak sepatutnya insiden ini tidak seharusnya berlaku. Usaha untuk penyokong berdiri dan memberikan tepukan gemuruh buat Faisal pada minit ketujuh perlawanan sangat bagus kerana mampu beri sokongan kepadanya.
“Saya berharap beliau terus kuat dan sembuh walaupun ia mungkin mengambil masa,” katanya dari Kota Damansara.
Juruteknik Ashrul Afifi Hamdan,27, menyifatkan insiden menimpa Faisal itu sangat menyedihkan kerana karier beliau masih panjang selain industri bola sepak seharusnya tidak dicemari perkara ekstrem seperti itu.
“Kehadiran saya ini juga mahu memberi sokongan kepada Selangor FC untuk terus bangkit dan memberi persembahan terbaik.
“Selain itu, saya menyokong usaha untuk berdiri pada minit ketujuh kerana ini adalah bentuk solidariti kepada Faisal agar cepat sembuh dan kembali beraksi,” katanya.
Sementara itu, pemandu bas Ruzaidi Khamis,53, berkata insiden menimpa Faisal itu terlampau ganas untuk budaya di Malaysia dan bola sepak khususnya.
“Sepatutnya jika ada isu atau tidak puas hati ia perlu ditangani sebaiknya dan diselesaikan secara bersemuka, bukan seperti ini.
“Kita terus menyokong Faisal kerana beliau juga pemain negara. Kita sama-sama berdiri malam ini sebagai tanda sokongan kepadanya… teruskan bersemangat biarpun lambat sembuh,” katanya dari Pendang, Kedah.
Pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis Danish Farhan Effendi,21, berkata sebagai anak muda insiden menimpa pemain Selangor FC dan Harimau Malaya itu menyayat hati.
“Sedih apabila dapat tahu beliau dilanda musibah seperti ini dan saya berharap terus kuat serta tabah dengan ujian menimpanya.
“Biarpun datang sebagai penyokong Kedah, tidak salah untuk kita sama-sama bangun sebagai tanda sokongan kepadanya,” ujarnya.
Baru-baru ini, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Faisal yang mengalami lecur tahap empat memasuki fasa pemulihan baharu iaitu rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.
Di samping itu Pengurusan Selangor FC turut melancarkan kempen solidariti terhadap Faisal dengan paparan mesej sokongan pada papan iklan statik dan elektronik di pihak berkuasa tempatan.