Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli menunjukkan tangki yang diubahsuai untuk menyeludup diesel bersubsidi ke negara jiran dalam ‘ Ops Tangki ‘yang dilakukan JPJ di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada 19 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ketirisan diesel subsidi RM1.2 juta sehari di Bukit Kayu Hitam

BUKIT KAYU HITAM, 19 MEI: Negara mengalami ‘ketirisan’ diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM1.2 juta sehari, akibat aktiviti penyeludupan menggunakan kenderaan asing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya mengesan perkara itu, setelah menyita 18 kenderaan pelbagai jenis dalam Op Tangki di Kuala Muda, Kota Setar dan ICQS tersebut, bermula 15 Mei hingga hari ini.

Beliau berkata jumlah ketirisan RM1.2 juta berkenaan, dikesan sepanjang lima hari operasi tersebut yang modus operandinya menggunakan kenderaan seperti pikap, dan lori treler yang diubah suai dengan tangki tambahan.

“Dalam operasi ini, kita dapati kebanyakan kenderaan asing mengubah suai tangki untuk menyeludup diesel ke negara jiran. Apa yang mendukacitakan kita, penyeludup ini masuk dan keluar seludup diesel hampir lima perjalanan sehari.

“Bila kita tahan 18 kenderaan ini, kita buat kiraan dia lebih kurang RM250,000 ketirisan satu perjalanan, tapi bila kita soal siasat pemandu, dia kata dia buat empat hingga lima perlajanan. Ini di Bukit Kayu Hitam belum masuk di tempat lain (sempadan),” katanya pada sidang media Op Tangki di ICQS di sini, hari ini.

Aedy Fadly berkata nilai tersebut amat tinggi, justeru pihaknya akan meningkatkan operasi mengesan kenderaan tersebut bagi mengelakkan negara mengalami lebih banyak kerugian.

Beliau berkata terdapat juga suspek yang menggunakaan kenderaan persendirian, seperti kereta dengan nombor pendaftaran negara jiran.

“Bermula minggu ini, kita akan adakan (operasi) di seluruh negara, malah kita diberi arahan di peringkat tertinggi Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakannya, bagi mencegah kes penyeludupan diesel subsidi ke luar negara, tiada lagi peluang bagi mereka yang melakukan kesalahan ini,” katanya.

Aedy Fadly berkata operasi dijalankan mengikut Kaedah 34 Ubahsuai Tangki Tanpa Kebenaran (Pembinaan dan Pengunaan) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), serta kaedah-kaedah di bawahnya.

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi sabitan kali pertama dan denda tidak lebih RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya (sabitan kali kedua).

Aedy Fadly berkata selain itu, saman turut dikeluarkan dengan pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen kenderaan, teknikal dan tiada insurans.

– BERNAMA


Pengarang :