Penyokong menunjukkan solidariti kepada Faisal Halim ketika perlawanan Selangor FC dan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Mei 2024. Foto Facebook Selangor FC
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sokongan, solidariti terhadap Faisal Halim bantu Selangor FC menang ke atas Kedah

HULU SELANOR, 19 MEI: Sokongan serta solidariti rakyat kepada Faisal Halim membantu pasukan Selangor FC kembali bersemangat hingga mencatat kemenangan pada perlawanan pertama Liga Super 2024/2025 malam tadi.

Dato’ Menteri Besar berkata meski pasukan masih diselubung trauma susulan insiden simbahan asid terhadap Faisal, 26, dua minggu lalu namun barisan Gergasi Merah bangkit berjuang dan mengatasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0.

“Faisal berdepan cabaran besar. Hampir buta kerana kurang dua milimeter simbahan asid terkena matanya. Mungkin boleh meninggal dunia kalau tertelan asid sulfurik itu.

“Secara fizikal keadaannya jauh lebih baik tetapi bila bercakap dengannya, melihat laporan psikologi, saya tau dia berdepan trauma besar dan ini turut didepani Selangor FC, yang turut terkesan dengan serangan ini.

“Namun atas sokongan rakyat, doa, ada slogan, buat baju, solidariti.. alhamdulillah pasukan bola Selangor cemerlang dan menang 1-0 menentang Kedah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan majlis penutup sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di sini hari ini.

Malam tadi, skuad kendalian Nidzam Jamil meraih tiga mata pertama bagi musim ini menerusi pemain gantian Aliff Haiqal Lau pada minit ke-85 selepas rembatan leretnya menewaskan penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz.

Pada 5 Mei, Faisal lebih dikenali sebagai ‘Mickey” mengalami kecederaan lecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan, selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, hingga membataskan pergerakan dan percakapannya.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari itu, dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan.

Penyokong menunjukkan solidariti kepada Faisal Halim ketika perlawanan Selangor FC dan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Mei 2024. Foto Facebook Selangor FC
Pemain Selangor FC meraikan kemenangan serta menunjukkan solidariti kepada rakan sepasukan, Faisal Halim ketika perlawanan Selangor FC dan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Mei 2024. Foto Facebook Selangor FC

Pengarang :