AGENDANASIONAL

Bomba hantar pasukan Hazmat ke China dalami ilmu hidrogen

KUCHING, 20 MEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) akan menghantar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ke China untuk mendalami ilmu baharu tentang hidrogen.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata bomba perlu mendahului teknologi supaya kompetensi dan kemahiran selari dengan kemajuan industri semasa.

“Perancangan kita tahun ini adalah menghantar tiga pasukan ke China untuk melihat bagaimana keadaan industri di sana dan mengadakan kolaborasi.

“Kita akan bawa kemahiran dan kompetensi tersebut ke Malaysia untuk kita buat peraturan dan cara mengawal selia,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 JPBM di sini, hari ini

Nor Hisham berkata, bomba perlu sentiasa bersedia, melengkapkan anggota-anggotanya dengan kepakaran dan keperluan mengikut lokasi, dalam konteks hidrogen ini, merujuk kepada keperluan di Sarawak.

“Pasukan Hazmat perlu mengenal pasti tatacara operasi piawai dalam menangani sebarang bencana akibat daripada letupan bahan kimia.

“Contohnya hidrogen, memang hidrogen itu sendiri adalah gas natural, namun apabila konsentrasinya berada pada tahap yang tinggi apakah yang akan terjadi?,” katanya.

Ketika berucap pada majlis itu, Nor Hisham berkata Sarawak merupakan antara negeri yang pesat membangun dan dijangka akan beralih menjadi negeri berekonomi besar.

Justeru, katanya, pembangunan prasarana secara besar-besaran dijangka akan berlaku dalam pelbagai sektor dan akan menjadi cabaran kepada bomba dalam penguatkuasaan keselamatan kebakaran serta operasi kebombaan dan penyelamatan.

-BERNAMA


Pengarang :