Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas program bagi memecah rekod The Malaysia Book Of Record (MBOR) Most Kindergartener Participants In An Integrity Awareness Campaign di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

PBT laksana proses nilai semula aset, bukan notis naik cukai

SHAH ALAM, 20 MEI: Beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika ini sedang melaksanakan proses penilaian semula nilai aset atau harta benda dan bukannya notis kenaikan cukai.

Dato’ Menteri Besar berkata ia adalah proses biasa dilakukan PBT bagi mendapatkan nilaian terkini pegangan atau aset selepas lebih 10 tahun kadar sedia ada digunakan.

“Ia adalah proses untuk penilaian yang wajar dilakukan PBT kerana dampaknya memberikan (kesan kepada) nilai tanah dan justifikasi terhadap penilaian hartanah kawasan sekitar.

“Bukan semua PBT (terlibat). Sekarang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan proses sama pernah dilalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sekitar 2022. Jadi bukanlah notis untuk meningkatkan cukai.

“MPAJ (atau PBT) akan mendengar pandangan, (bantahan) dan melihat respon daripada pihak yang terbabit. Selepas proses bantahan ia akan dikumpulkan, disemak semula dan dibawa kepada Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama kanak-kanak pada program bagi memecah rekod The Malaysia Book Of Record (MBOR) Most Kindergartener Participants In An Integrity Awareness Campaign di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ditemui dalam satu program di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini Amirudin berkata proses penilaian semula akan dibuat secara saksama dan ia juga penting bagi melihat keberkesanan proses perbandaran sesuatu kawasan.

“Kalau nilai tidak naik, maknanya ada yang tak kena kepada lokaliti tersebut. Penilaian melihat kepada pelbagai aspek termasuk kos menyelenggara seperti pengurusan sampah yang mungkin telah meningkat puluhan tahun.

“Kemampanan Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan juga harus dipertimbangkan. Ini semua (penilaian semula) adalah proses dan bukan naikkan cukai.

“Kajang (MPKj) sampai sekarang tak naik (cukai) pun (sedangkan penilaian sudah dibuat pada 2022). Kerajaan Negeri akan buat keputusan berdasarkan keasaan dan penilaian semasa,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk, tengah) bersama kanak-kanak tadika pada program bagi memecah rekod The Malaysia Book Of Record (MBOR) Most Kindergartener Participants In An Integrity Awareness Campaign di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Terdahulu Amirudin mewakili Kerajaan Negeri menerima sijil pengktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya mengumpulkan 1,066 murid tadika dalam kempen kesedaran integriti.

Program anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI melibatkan kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun menyertai aktiviti mewarna lakaran kartun berkaitan nilai integriti.

 


Pengarang :