Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pada 10 Oktober 2023. Foto Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selenggara loji 5 Jun, pengguna tujuh wilayah dinasihat simpan air

SHAH ALAM, 21 MEI: Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan melalui proses selenggara dan penggantian aset pada 5 Jun mulai 9 pagi hingga 7 malam.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), kerja tersebut membabitkan pengguna di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Justeru, Air Selangor menggerakkan lori tangki air ke kawasan terlibat dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor selain mereka juga boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka.

Stesen air itu di Breamer Estet (Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (Sepang), serta Taman Banting Baru (Kuala Langat).

Kenyataan itu menyebut pengguna dijangka menerima bekalan secara berperingkat mulai jam 3 pagi pada 6 Jun setelah kerja tersebut selesai dan sistem agihan utama bekalan distabilkan.

Air Selangor juga menasihatkan pelanggan terjejas supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor melalui talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/


Pengarang :