AGENDANASIONAL

Suri rumah putih mata barang kemas lesap terperdaya komisen tiket loteri

ALOR GAJAH, 21 MEI: Seorang suri rumah kerugian kira-kira RM20,000 selepas terperdaya dengan janji diberi komisen sebanyak 10 peratus jika membantu warga asing menuntut wang kemenangan tiket loteri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata dalam kejadian Sabtu lepas, mangsa berusia 58 tahun pergi membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya di Masjid Tanah di sini, sebelum didatangi tiga lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun.

Menurutnya, mangsa yang bersendirian ditawarkan oleh suspek untuk menunaikan tiket loteri yang memenangi tempat pertama berjumlah RM500,000 itu kerana kononnya mereka tidak dibenarkan menuntut wang kemenangan disebabkan tidak memiliki kad pengenalan.

“Suspek menawarkan kepada mangsa sebanyak RM50,000 jika membantu mereka menunaikan tiket loteri berkenaan kerana mereka tidak mempunyai kad pengenalan. Suri rumah itu mengikuti warga asing tersebut menaiki kereta untuk ke kedai loteri yang berada kira-kira dua kilometer daripada pasar raya berkenaan.

“Ketika dalam perjalanan, suspek meminta mangsa menyerahkan barang kemas sebagai cagaran dengan alasan supaya suri rumah berkenaan tidak menipu mereka selepas menunaikan tiket loteri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashari berkata mangsa kemudiannya menyerahkan barang kemas berupa seutas rantai berserta loket dan gelang tangan dianggarkan bernilai RM20,000.

Beliau berkata ketika tiba di kedai loteri, ketiga-tiga suspek menunggu di dalam kereta dan menyerahkan tiket loteri kepada mangsa untuk ditunaikan di kaunter premis.

“Semasa ingin masuk ke premis, mangsa berpaling melihat suspek dan terkejut mendapati kereta yang dinaiki telah beredar menyebabkan suri rumah itu tersedar diperdaya oleh mereka.

“Wanita itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru, kira-kira 2 petang pada hari kejadian,” katanya sambil menambah empat kertas siasatan dibuka berkaitan tipu loteri sejak tahun lepas sehingga semalam.

-BERNAMA


Pengarang :