Orang ramai membeli barangan di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Surau Al Hijrah, Kota Warisan, Sepang pada 21 Mei 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah ringan belanja dapur rakyat, terutama keluarga besar

SEPANG, 21 MEI: Penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) membantu meringankan beban belanja dapur rakyat terutama bagi yang berkeluarga besar.

Suri rumah, Norkintan Sulaiman,48 berkata dia yang mempunyai enam anak sangat bersyukur wujudnya inisiatif itu kerana boleh menjimatkan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM150 hingga RM200 setiap bulan.

“Saya memang beli barangan makanan asas di sini. Sebelum ini setiap bulan perbelanjaan untuk makanan sekurang-kurangnya RM500 hingga RM600 tetapi sejak berbelanja di jualan ini saya boleh jimat sekitar RM150 hingga RM200 setiap bulan.

Suri rumah, Norkintan Sulaiman, 48

“Saya memang ikuti Facebook penganjur untuk dapatkan lokasi jualan terkini. Malah sanggup pergi hingga ke Bukit Changgang yang jaraknya kira-kira 30 kilometer dari sini,” katanya ditemui pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Surau Al Hijrah Kota Warisan di sini hari ini.

Bagi Saifullah Sohi, 45, beliau yang mempunyai lima tanggungan dan bekerja sendiri teruja pertama kali ke program itu kerana harganya sangat berpatutan dan jauh lebih murah dari pasaran.

“Lepas ini saya cadang berbelanja bulanan di program ini. Untuk amaun yang sama setiap bulan saya belanja di pasar raya sebelum ini, boleh dapat lebih barangan yang dibeli apabila di sini,” katanya.

Pesara, Zamri Ahmad, 57, yang sudah beberapa kali ke jualan murah anjuran negeri itu memuji kualiti barangan yang dijual setanding pasar raya.

Pesara, Zamri Ahmad, 57

“Jangan ingat harga murah kualiti teruk. Kualitinya setanding pasar raya. Jadi untuk sesiapa yang belum pernah beli, boleh cuba dan nilaikan sendiri. Anda mesti datang lagi.

“Bagi mereka yang ramai tanggungan ia memang sangat membantu kerana penjimatan yang diperolehi lebih banyak barangan dapat dibeli,” katanya.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyediakan 500 ekor ayam, telur (300 papan), daging (200 pek), beras 5kg (300 kampit), ikan (100 pek) dan minyak 5kg (40 botol) untuk pengunjung program itu hari ini selain produk barangan kering keluaran PKPS.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :