SHAH ALAM, 21 MEI: Liputan rangkaian 5G di Selangor mampu mencapai 80 peratus pada tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buat masa ini pihaknya giat memperkemas capaian di kawasan industri, pendidikan dan perniagaan.
“Saya tidak mahu tengok angka tetapi kualitinya dan sebab itu akan panggil Dr Fahmi Ngah (EXCO Pembudayaan Inovasi) untuk melihat keberkesanan capaian 5G
“Keutamaan kita adalah memperkemas capaian 5G dengan menumpukan kawasan industri diikuti pendidikan dan selepas itu perniagaan.
“Namun, kita yakin boleh capai 80 peratus (liputan 5G) tahun ini,” katanya yang turut memaklumkan pihaknya sedang menunggu laporan rasmi berhubung perkara itu daripada Telekom Malaysia.
Amirudin berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Selangor memberi tumpuan membangunkan liputan rangkaian 5G di 1,850 kawasan di seluruh negeri tahun ini.
Usaha ini bagi merealisasikan hasrat negeri mencapai liputan rangkaian 5G sepenuhnya iaitu 100 peratus menjelang 2025.