EXCO Mobiliti Ng Sze Han (tengah) menunjukkan pelan mitigasi banjir kawasan Puchng di Bangunan Pentadbiran Negeri, Shah Alam pada 21 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Projek tangani banjir kilat di Puchong jangka siap hujung tahun

SHAH ALAM, 21 MEI: Projek mitigasi banjir di kawasan Puchong membabitkan peruntukan RM5 juta dijangka siap hujung tahun ini, kata EXCO mobiliti.

Ng Sze Han berkata projek merangkumi kerja menaik taraf saliran di depan pusat membeli-belah IOI Mall; simpang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala Lebuh Puteri Puchong Indah dan Kampung Bunga Melor di Batu 14.

“Kerja menaik taraf sistem saliran ini telah bermula Mei tahun lalu dan setakat ini telah mencapai 50 peratus. Kita jangka keseluruhan projek mitigasi ini siap menjelang hujung tahun ini.

“Kita berharap projek ini akan mengatasi isu banjir kilat. Namun perubahan iklim mengakibatkan taburan hujan sekarang tidak menentu, bergantung kepada kadar penurunan hujan yang kadangkala sangat lebat.

“Pentadbiran negeri ini sentiasa berusaha untuk mengurangkan risiko banjir kilat dan projek mitigasi di Puchong adalah antara usaha yang dilakukan,” kata Ahli Dewan Negeri Kinrara.

Media sebelum ini melaporkan banjir kilat sering berlaku di sekitar Puchong sejak tahun lepas yang menjejaskan trafik serta pengoperasian pusat perniagaan.

 


Pengarang :