Aksi pemain Malaysia ketika menentang pasukan Myanmar pada peringkat separuh akhir acara regu Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa pada 21 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Malaysia, Thailand buat perhitungan di piala dunia sepak takraw hari ini

KUALA LUMPUR, 22 Mei: Skuad negara berjaya mencapai sasaran layak ke final acara regu dan double divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dalam suasana cukup meriah dan beremosi di Stadium Titiwangsa di sini, malam tadi.

Gandingan Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin terlebih dahulu menceriakan kira-kira 1,000 penonton apabila mara ke final selepas menundukkan Myanmar 2-0 dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan.

Gandingan Myanmar Zin Min Oo dan Shein Wunna Zaw terpaksa akur dengan kehebatan pasangan negara di set pertama apabila tewas 15-10 sebelum bangkit memberikan tentangan sengit bagi memburu kemenangan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaimanapun, ketenangan dan pengalaman Aidil Aiman-Muhammad Noraizat yang merupakan pemenang pingat perak acara double Sukan SEA edisi 2021 dan 2023 menjadi pemisah apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan di hujung permainan untuk mencatat kemenangan 17-16.

“Saya sangat bersyukur atas kemenangan ini, saya berterima kasih kepada Presiden PSM (Persatuan Sepaktakraw Malaysia) sebab percayakan kami untuk galas tanggungjawab dalam acara double, saya bermain untuk beliau juga,” kata Aidil Aiman ketika ditemui selepas aksi separuh akhir.

Muhammad Noraizat pula berkata: “Saya bersyukur sangat (dengan kemenangan) sebab ini adalah Piala Dunia, bagi saya besar (prestij kejohanan), jadi ini adalah salah satu pencapaian terbaik saya untuk kategori double.”

Menanti Malaysia di final hari ini adalah juara bertahan Thailand yang menundukkan Indonesia 2-0 (15-8, 15-13) dalam satu lagi aksi separuh akhir.

“Untuk final dengan Thailand, sama juga (sengit), saya rasa lagi mencabar untuk dapatkan kemenangan, tapi apa pun kami cuba sehabis baik dan beri lebih baik daripada hari ini, 200 peratus,” kata Aidil Aiman.

Rentak cemerlang Malaysia diteruskan dalam aksi separuh akhir regu selepas trio Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) mengatasi Myanmar dibarisi Zin Ko Ko, Min Thant Thu dan Phay Nyein Chan Khin Maung Cho 2-0 (15-3, 15-11).

Di pentas final hari ini, Malaysia membuat perhitungan menentang juara bertahan Thailand selepas ‘Raja’ sepak takraw dunia itu menepati ramalan dengan mudah menumpaskan Filipina 2-0 (15-4, 15-8).

“Kami ada satu langkah lagi dan akan beri permainan yang lebih baik, lebih puas hati…mindset kami di sini memang tak mahu ada tekanan, jadi (permainan) akan lebih baik, saya rasa akan ada keajaiban esok (hari ini),” kata Mohamad Azlan.

Ketua jurulatih kebangsaan Ahmad Jais Baharun yang gembira dengan pencapaian pasukan mara ke pentas akhir percaya tidak mustahil anak buahnya mampu mencipta kejutan ke atas Thailand dalam kedua-dua final hari ini.

“Harapan saya bagi saingan final ini barisan pemain dapat pamerkan prestasi jauh lebih baik kerana kita sedar cabaran lawan Thailand sangat besar.

“Tetapi kita takkan mengalah, kita akan cuba pamerkan semangat juang tinggi, mutu permainan terbaik dan harap pemain buat kejutan, tiada yang mustahil,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa menonton dan memberikan sokongan kepada pasukan negara di sini.

Sementara itu, final saingan divisyen satu hari ini menyaksikan Iran bertemu Taiwan bagi acara regu dan double.

– BERNAMA


Pengarang :