SHAH ALAM, 22 MEI: Festival Turath Islami Selangor.edisi kedua bermula Ahad ini, bakal mengangkat kitab warisan demi pembinaan generasi Islam yang lebih baik pada masa depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program berkenaan tercetus hasil penelitian terhadap keinginan masyarakat sejak kebelakangan ini yang dahagakan ilmu agama.
“Mutakhir ini ada keinginan besar orang ramai terhadap agama, jadi kita harus teruskan tradisi keilmuwan. Kalau tidak, kita bimbang akan menjurus kepada pemahaman kurang tepat atau mudah terpesong dengan fahaman menyeleweng.
“Saya percaya pemahaman kitab lama perlu diangkat kembali supaya kita tidak hanya lihat cebisannya sahaja kerana karya ini mengandungi barakah ilmu daripada guru yang wajar kita sambung dan ketengahkan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/baba-3-500x333.jpg.webp)
Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai tetamu pada segmen Inspirasi Pagi bersama radio IKIMfm yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook IKIMfm, pagi tadi.
Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai 26 Mei sehingga 2 Jun bakal mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam membabitkan penglibatan ulama tradisional serta ahli akademik.
Festival turath terbabit menampilkan lebih 20 ulama terkenal, tokoh agamawan dan akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura melibatkan 12 acara utama dengan jangkaan menarik 30,000 penyertaan.
Berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, festival tersebut turut diserikan dengan kehadiran istimewa bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab yang akan mengupas Kitab Hadis 40.
Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman web www.turathislamiselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/al-quran-500x333.jpg.webp)