Penternak lembu, Mahadi Hasan, 45, memandikan ternakan lembunya akibat keadaan cuaca panas yang melampau khususnya pada waktu tengah hari ketika tinjauan di Kampung Sungai Mati, Langgar, Alor Setar pada 20 Mac 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Nadma: Dana RM10 juta untuk negeri, agensi tangani impak cuaca kering

PUTRAJAYA, 24 MEI: Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan RM10 juta untuk digunakan kerajaan negeri dan agensi tindak balas terlibat dalam menangani impak Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula sejak 17 Mei lepas.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan di bawah Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dikelola agensi itu disediakan bagi membolehkan pengurusan dan pengoperasian berkesan dalam menangani impak MBD.

“NADMA akan menyelaraskan penyaluran peruntukan berdasarkan permohonan dan keperluan operasi bencana terbabit. Agensi-agensi teknikal dan agensi-agensi tindak balas pengurusan bencana telah bersiap sedia untuk menghadapi MBD,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata negara dijangka berdepan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan atau belukar, jerebu serta kekurangan hasil pertanian susulan MBD bermula bulan ini hingga September.

Susulan itu, Ahmad Zahid berkata semua agensi pengurusan bencana diingatkan supaya mengambil langkah aktif dalam mengurangkan risiko bencana berkaitan.

NADMA memaklumkan jabatan berkaitan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah melakukan beberapa persediaan bagi menghadapi MBD.

Antara persediaan yang dilaksanakan ialah persiapan logistik JBPM bersama 23,566 anggota JBPM bagi menghadapi kebakaran terbuka, selain JMG menyediakan sumber air alternatif iaitu sumber air bawah tanah melibatkan 640 telaga aktif domestik dan 104 telaga untuk pencegahan dan pemadaman kebakaran di tanah gambut dan hutan.

Menurut NADMA, operasi pembenihan awan akan dilakukan apabila terdapat keperluan dan setelah mendapat nasihat teknikal daripada MetMalaysia serta ketersediaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia pada tarikh yang dicadangkan.

“Kesiapsiagaan dan langkah-langkah proaktif agensi-agensi berkaitan dalam menguruskan impak MBD diharap dapat mengatasi kegusaran orang ramai dan menghindari daripada tersebarnya maklumat yang tidak tepat.

“Orang awam dinasihatkan supaya lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko terkena strok haba. Orang ramai juga diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau yang tiada sumber lengkap untuk mengelakkan salah faham dalam kalangan orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Laporan mingguan berkaitan impak cuaca panas boleh didapati melalui laman web NADMA www.nadma.gov.my untuk rujukan umum, manakala maklumat dan amaran cuaca terkini boleh diperoleh melalui pelbagai medium iaitu media elektronik, media sosial, laman web rasmi, aplikasi myCuaca, serta MET Malaysia Hotline menerusi talian 1-300-22-1638.

— BERNAMA


Pengarang :