Helikopter membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi dan pegawai kanan dilaporkan terhempas di barat laut Iran pada 19 Mei 2024. Foto Facebook Bernama
AGENDAGLOBAL

Jenazah bekas Presiden Iran Ebrahim Raisi selamat dikebumi di Mashhad

MASHHAD, 24 MEI: Bekas Presiden Iran, Ebrahim Raisi telah dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad, yang menempatkan makam suci imam kelapan penganut Syiah, Imam Reza.

Agensi Berita Republik Islam (IRNA) melaporkan bahawa jenazah Raisi tiba di Mashhad pada pagi Khamis, dengan ribuan orang berkumpul untuk perarakan pengebumian yang menuju ke makam suci Imam Reza, tempat bekas presiden itu dikebumikan.

Menurut Datuk Bandar Mashhad, Mohammad-Reza Ghalandar dianggarkan tiga juta orang mengambil bahagian dalam upacara berkabung itu, termasuk penduduk dari bandar lain di Iran serta negara jiran seperti Iraq, Afghanistan, Pakistan dan Turkiye.

Raisi, menteri luar negaranya, Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai telah terkorban pada Ahad apabila helikopter mereka terhempas di wilayah barat laut Iran, Azarbaijan Timur.

Mereka dalam perjalanan ke ibu kota wilayah Tabriz dari sempadan Azerbaijan, selepas Raisi merasmikan empangan bersama dengan rakan sejawatnya dari Azerbaijan, Ilham Aliyev.

Upacara pengebumian turut diadakan untuk mangsa nahas helikopter yang lain pada Selasa dan Rabu di bandar Tabriz dan Qom serta ibu kota Tehran.

Puluhan pegawai tinggi dari negara lain turut menghadiri upacara peringatan di Tehran pada petang Rabu.

Raisi, 63, adalah presiden kelapan Iran dan telah dipilih pada Ogos 2021. Sebelum itu, beliau mengetuai badan kehakiman Iran, merupakan ahli Expediency Council, naib pengerusi Majlis Pakar dan penjaga Astan Quds Razavi.

Sementara itu, di bandar Rey di selatan Tehran pada Khamis, Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian telah dikebumikan di makam Abdul-Azim al-Hassani.

– BERNAMA-IRNA


Pengarang :