Logo Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 digambarkan pada bangunan Pulse, ibu pejabat jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik Paris ketika tinjauan pada 20 Jun 2023. Foto REUTERS
AGENDASUKANKINI

Skuad badminton ada kemampuan raih pingat dalam Olimpik Paris

PETALING JAYA, 27 MEI: Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin yakin dengan kemampuan skuad badminton untuk membawa pulang pingat daripada temasya terbesar dunia itu yang berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Mengulas mengenai prestasi pemain negara di kejohanan Masters Malaysia yang berakhir semalam di Axiata Arena, beliau berkata wakil negara masih berada dalam posisi untuk pergi jauh di Paris 2024.

Namun, beliau menegaskan bahawa undian untuk Olimpik yang bakal diadakan pada 12 Julai ini, akan memainkan peranan yang penting dalam menentukan nasib pemain negara sama ada mendapat laluan mudah atau sukar bagi mencabar pingat.

“Undian nanti mustahak, tidak kira bagi acara perseorangan atau beregu. Pemain kita seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) pernah mengejutkan pemain di ranking utama dunia untuk meletakkan harapan.

“Pemain yang muncul juara sekarang tak semestinya pergi jauh, jadi pemain kita kena terus berlatih sehingga Olimpik nanti. Bagi Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), yang bagusnya beliau sedang bangkit dengan baik sekarang, cuma mengalami kecederaan ringan (kejang) ketika Masters Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama atlet di sini, hari ini.

Pada saingan Masters Malaysia bertaraf Super 500 yang berlangsung dari 21-26 Mei, pemain profesional, Lee Zii Jia merupakan satu-satunya wakil negara yang telah layak ke Olimpik mampu mara sehingga perlawanan akhir, sebelum tewas kepada Viktor Axelsen.

Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah tersingkir pada separuh akhir, juara dunia 2022 Aaron-Wooi Yik ditunjukkan jalan keluar pada suku akhir, manakala perseorangan wanita Goh Jin Wei kalah seawal pusingan kedua.

Pasangan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, yang merangkul gelaran beregu campuran, tidak layak ke Paris 2024 dalam tempoh kelayakan setahun yang berakhir pada akhir bulan lepas.

Sementara itu, berbaki kurang dua bulan lagi untuk Olimpik, Hamidin menasihatkan semua atlet negara yang telah melayakkan diri supaya menjaga keselamatan dan kesihatan untuk berada pada tahap prestasi tertinggi demi membawa cabaran negara.

Beliau turut menasihatkan atlet supaya menjauhi media sosial sekiranya mental mereka tidak kuat untuk menerima kritikan dan tekanan daripada peminat dan rakyat yang mengharapkan emas pertama negara di Paris nanti.

“Mereka cukup memahami, sekiranya mereka tidak mampu untuk berdepan dengan netizen dan media sosial ini, lebih baik fokus kepada apa yang mereka patut buat. Harapan memang tinggi daripada rakyat untuk emas pertama, itu sebabnya kita wujudkan program RTG (Road to Gold), namun kita kena berusaha dulu dan berserah kepada tuhan,” katanya.

Setelah 18 atlet berjaya melayakkan diri ke Paris 2024 setakat ini, Hamidin berkata nasib pemain golf dijangka diketahui pada 2 Julai ini, manakala jumlah keseluruhan kontinjen kali ini, termasuk olahraga dan renang dijangka diketahui menjelang 4 Julai.

-BERNAMA


Pengarang :