Kakitangan Air Selangor melaksanakan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Senggara loji air tidak boleh ditangguh, usia injap lebih 30 tahun

KUALA SELANGOR, 27 MEI: Penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang dijadualkan pada 5 Jun ini perlu dilakukan mengambil kira faktor aset berkenaan yang berusia lebih 30 tahun, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim.

Beliau berkata penyelenggaraan berkenaan yang melibatkan penggantian injap kupu-kupu dan injap sluis di Pam Air Terawat Matang Pagar dan penyelenggaraan switchgear di LRA SSP1 adalah perlu bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang yang akan memberi kesan lebih besar kepada pengguna.

Menurut Izham kos bagi kerja-kerja berkenaan berjumlah RM500,000 itu juga mengambil kira kepentingan awam dan pelbagai langkah mitigasi telah diambil bagi meminimumkan kesan akibat gangguan bekalan air kepada masyarakat di kawasan terlibat.

“Kita memang sentiasa jalankan audit teknikal pada peralatan di loji-loji kita untuk memastikan apabila sampai peringkat yang perlu diselenggara, kita perlu buat sebelum keadaan jadi lebih serius, tambahan pula loji rawatan ini pun sudah lama.

“Seperti yang diketahaui umum, kita juga telah menangguhkan kerja-kerja penyelenggaraan ini sebelum ini, selepas mengambil kira musim perayaan dan sebagainya… dan melihat kepada keadaan yang agak sesuai ketika ini, kita putuskan ia perlu dilaksanakan pada awal bulan hadapan,” katanya pada sidang media selepas meninjau tapak penyelenggaraan LRA SSP1 di sini hari ini.

Izham berkata kerajaan negeri sedang berusaha mempercepat projek LRA Sungai Rasau bagi mengelakkan gangguan bekalan air di Selangor sekiranya kerja-kerja penyelenggaraan besar seperti ini perlu dijalankan pada masa akan datang.

Sebelum ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan kerja-kerja berkenaan bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Menurut Air Selangor, pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat bermula pada 3 pagi, 6 Jun (Khamis) setelah kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian aset siap, dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.

— BERNAMA

 


Pengarang :