AGENDANASIONAL

Pemandu cedera bas ekspres rempuh lori bawa muatan pakaian

KUANTAN, 28 MEI: Seorang pemandu bas ekspres cedera manakala 37 penumpang terselamat selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah lori di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata dalam kejadian sekitar 1 pagi itu, bas dipandu lelaki berusia 40 tahun bersama pemandu kedua berumur 36 tahun sedang dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan menuju ke Kuala Terengganu, Terengganu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu bas dipercayai hilang kawalan dan terlanggar bahagian belakang lori yang membawa muatan pakaian.

“Pemandu bas mengalami kecederaan di bahagian tangan, kaki dan kepala serta dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang lagi pemandu bas dan pemandu lori serta kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kesemua 37 orang penumpang bas juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan meneruskan perjalanan ke Terengganu menaiki bas ganti yang disediakan oleh syarikat bas,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BERNAMA

 


Pengarang :