EXCO Pelaburan Ng Sze Han bercakap kepada Media Selangor selepas majlis pembukaan Semicon Asia Tenggara 2024 di Mitec, Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Semikonduktor jamin pulangan tinggi, lonjak Selangor ke pasaran global

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Pemerkasaan dan penumpuan terhadap sektor semikonduktor yang dilaksana Kerajaan Selangor ketika ini bakal membantu pelaburan ke pasaran global.

Berikutan itu, EXCO pelaburan berkata pentadbiran negeri akan memperkemas lagi ekosistem bagi memastikan produk dihasilkan berkualiti, sekali gus memacu ekonomi lebih baik.

Ng Sze Han menjelaskan usaha berkenaan juga menjamin pulangan tinggi memandangkan sektor berkenaan akan menjana hampir RM5 trilion di seluruh negara menjelang 2030.

“Di Selangor, industri ini mempunyai sejarah panjang dan ia bermula 1972. Lebih 50 tahun menapak dan industri matang tetapi kita ada kelemahan dalam peringkat akhir.

“Kita kurang kemahiran, asasnya ada. Penubuhan pusat reka bentuk litar bersepadu (IC) akan bantu Malaysia kembangkan sektor ini,” katanya ditemui pada majlis perasmian Ekspo Semicon Asia Tenggara 2024 hari ini.

Terdahulu, program berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dirasmikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri ZafrulTengku Abdul Aziz.

Bulan lalu, Selangor menandatangani memorandum persefahaman dengan empat syarikat termasuk ARM Ltd yang berpusat di United Kingdom, Shenzhen Semiconductor Industry Association (China).

Ia bagi membangunkan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor di Puchong yang turut melibatkan kerjasama Phison Malaysia dan SkyeChip.

Bakal dikendalikan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor mulai Jun, pusat itu mampu menjana pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion dan membuka peluang kerjaya profesional.


Pengarang :