Persidangan Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor di Bangunan Wisma DNS, Shah Alam pada 28 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Belia asah bakat jadi wakil rakyat di program ADN Muda Selangor

SHAH ALAM, 28 MEI: Rata-rata belia yang menyertai program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2024 mahu mengasah bakat menjadi wakil rakyat.

Seorang aktivis Fasyafariza Azahari, 27, berkata beliau menyertai program itu kerana minat yang mendalam selain mahu tahu selok-belok tugas ADN.

Fasyafariza Azahari

“Mulanya saya hanya mencuba hantar permohonan sebab keinginan untuk tahu selok-belok tugas sebagai ADN dan agak terkejut apabila dapat tahu terpilih.

“Sepanjang dua hari program agak mencabar kerana kita perlu rangka usul apa yang hendak dibahaskan selain rata-rata peserta juga memiliki latar belakang seorang pembahas,” kata alumni Fakulti Komunikasi dan Media Universiti Teknologi Mara.

Seorang lagi peserta, Kirtna Suresh, 20, memuji program anjuran Kerajaan Selangor itu yang disifatkan dapat membantu belia yang berminat melangkah ke arena politik.

Kirtna Suresh

“Sejak di bangku sekolah menengah memang saya mula minat untuk tahu isu semasa dan ibu bapa juga banyak berbual mengenai politik.

“Justeru, program ADN Muda ini sangat bagus dan dapat membantu anak muda khususnya untuk memperluas perspektif politik,” katanya yang bercita-cita menjadi pakar psikologi.

Manakala Yap Yoong Hong, 27, yang juga seorang peguam gembira dapat menyertai program tersebut dan berharap tempoh masa dapat dipanjangkan lagi.

Yap Yoong Hong

“Saya berasa amat gembira berpeluang mencipta pengalaman baharu sertai program ADN Muda Selangor, terima kasih kerana memilih saya sebagai salah seorang peserta.

“Program ini juga berupaya menjadikan peserta berfikiran lebih kritis dan kreatif. Saya harap mungkin selepas ini tempohnya boleh tambah kepada lima hari berbanding dua hari ketika ini,” kata bekas pelajar University Of Assex, United Kingdom.

Program ADN Muda Selangor dengan kerjasama Persatuan Pendemokrasian Sosial dan Ahli Parlimen Belia Selangor itu berlangsung selama dua hari sejak semalam.

Ia ditawarkan kepada pelajar serta belia berusia dari 18 hingga 35 tahun dan kelebihan menganggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan serta mana-mana persatuan.

Penganjuran sejak 2013 merupakan program khas bawah Dewan Negeri Selangor bagi melahirkan belia berfikiran kritis khususnya terhadap polisi Kerajaan Negeri.


Pengarang :