Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika majlis pembukaan Semicon Asia Tenggara 2024 di MITEC, Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Malaysia sasar jadi hab semikonduktor, tarik pelaburan RM500 juta

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dijangka dapat menarik pelaburan sebanyak RM500 bilion sepanjang fasa pertama pelaksanaannya, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata unjuran meliputi pelaburan langsung domestik (DDI) memfokuskan reka bentuk litar bersepadu dan pembungkusan termaju manakala pelaburan langsung asing (FDI) untuk pembuatan cip semikonduktor.

Beliau berkata menjelang fasa dua, kerajaan mahu menubuhkan sekurang-kurangnya 10 syarikat reka bentuk dan pembungkusan yang mampu menjana pendapatan antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion.

“Selain itu sekurang-kurangnya 100 syarikat berkaitan semikonduktor dengan pendapatan hampir RM1 bilion serta mewujudkan gaji lebih tinggi.

“NSS juga menyasarkan penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan global (R&D) untuk semikonduktor melibatkan universiti bertaraf dunia, R&D korporat, dan pusat kecemerlangan, dengan menggabungkan bakat Malaysia dan antarabangsa.

“Kita juga mahu melatih 60,000 jurutera mahir, selain peruntukkan sekurang-kurangnya RM25 bilion untuk sokongan fiskal bagi mengaktifkan NSS,” katanya berucap di majlis pembukaan ekspo Semicon Asia Tenggara 2024 di sini hari ini.

Semalam Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata inisiatif itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ruang semikonduktor dan peranan yang boleh dimainkan Malaysia dalam rantaian nilai global.

Beliau menyatakan keperluan merebut peluang semasa dalam menjadikan Malaysia sebagai kuasa semikonduktor tulen dan hab pembuatan serantau, selain menekankan kepentingan bagi menarik lebih banyak pelaburan demi kemajuan negara.

Beliau turut menjelaskan, sepanjang 18 bulan ini Malaysia telah menarik perhatian beberapa syarikat elektronik terbesar dan canggih di dunia, termasuk gergasi industri seperti Intel, GlobalFoundries, Infineon dan Neways.


Pengarang :