Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San pada sidang media penganjuran Program ADN Muda Selangor 2024 di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 27 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Usul tindakan tegas warga asing salah guna lesen dibawa ke sidang DNS

SHAH ALAM, 29 MEI: Salah satu usul dibahas menerusi program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2024 akan dibawa ke persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) Julai ini.

Speaker Lau Weng San berkata usul tersebut adalah mengenakan tindakan tegas terhadap warga asing yang menyalahgunakan lesen perniagaan warga tempatan.

“Keseluruhan program selama dua hari ini sangat padat dan memuaskan, semua pembahas persembahkan isi dengan begitu cantik, kita akan pastikan input daripada ADN muda akan digunakan pada persidangan DNS akan datang.

“Buat masa ini usul yang kita pilih adalah usul ketiga iaitu berkaitan dengan menggesa Kerajaan Negeri untuk ambil tindakan tegas terhadap warga asing salah guna lesen perniagaan warga tempatan.

“Usul ini akan diambil salah seorang ADN kita untuk dibahas dalam sidang DNS Julai ini,” katanya ketika sidang media program berkenaan semalam.

Barisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor berbahas pada persidangan ADN Muda Selangor di Bangunan Wisma DNS, Shah Alam pada 28 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Program ADN Muda Selangor dengan kerjasama Persatuan Pendemokrasian Sosial dan Ahli Parlimen Belia Selangor itu berlangsung selama dua hari sejak semalam.

Ia ditawarkan kepada pelajar serta belia berusia dari 18 hingga 35 tahun dan kelebihan menganggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan serta mana-mana persatuan.

Penganjuran sejak 2013 merupakan program khas bawah DNS bagi melahirkan belia berfikiran kritis khususnya terhadap polisi Kerajaan Negeri.

 


Pengarang :