Wakil negara Thew Sean Schoen (dua, kiri) memenangi tempat kedua Pertandingan International Philosophy Olympiad 2024 di Helsinki, Finland pada 16 hingga 19 Mei 2024. Foto Facebook Young Syefura Othman
AGENDANASIONAL

Pelajar dari PJ raih tempat kedua pertandingan tulis esei falsafah

SHAH ALAM, 29 MEI: Malaysia merangkul pingat perak dalam pertandingan menulis esei falsafah, International Philosophy Olympiad (IPO) 2024 yang berlangsung di Helsinki, Finland minggu lalu.

Ketua pasukan Dr Dayang Nurhazieqa Hamzani berkata wakil negara, Thew Sean Schoen, 17, mengalahkan lebih 100 peserta dari 50 negara menerusi esei bertemakan keamanan.

Jelasnya, pencapaian pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik Petaling Jaya itu amat membanggakan sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Kita ulangi kejayaan 2021, yang mana wakil negara turut mendapat tempat kedua. Tahun ini kita hantar Schoen dan pelajar Asasi Universiti Utara Malaysia, Kaveesha.

“Ini pencapaian tertinggi. Bagaimanapun sejak 2018, wakil negara tetap mendapat anugerah walaupun hanya saguhati,” katanya kepada Selangorkini.

Barisan peserta yang menyertai Pertandingan International Philosophy Olympiad 2024 di Helsinki, Finland pada 16 hingga 19 Mei 2024. Foto Facebook Young Syefura Othman

Dayang Nurhazieqa berkata kemenangan itu menunjukkan semangat luar biasa memandangkan hampir semua peserta merupakan pelajar falsafah.

“Peserta yang memang belajar bidang falsafah. Schoen hanya dilatih para pensyarah selepas kita membuat pemilihan daripada 15 senarai pendek.

“Tahun lepas Scheon turut mewakili negara namun hanya meraih saguhati. Dia mula sertai Olimpiad Falsafah Malaysia sejak berusia 13 tahun,” katanya.

IPO diasaskan sejak 1993 berlangsung setiap Mei oleh Persatuan Persekutuan Falsafah Antarabangs dengan kerjasama Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).


Pengarang :