AGENDAJENAYAH

Polis tahan 11 warga asing cuba keluar negara secara haram

SHAH ALAM, 29 MEI: Polis menahan 11 warga asing termasuk lima kanak-kanak dipercayai cuba untuk keluar dari Malaysia secara haram di Pantai Tanjong Rhu, Pulau Carey dekat sini pada 12.30 tengah malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat DSP Mohd Sufian Amin berkata penahanan kesemua suspek berumur antara tujuh hingga 51 tahun itu dilakukan Pasukan Gerakam Am (PGA) dari Pos Pulau Carey ketika mereka sedang berkumpul dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata mereka yang terdiri daripada dua lelaki, empat wanita bersama seorang kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan dipercayai warga Indonesia dan Myanmar itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri ketika diperiksa.

“Ketika disoal siasat, kesemua pendatang asing tanpa izin itu mengaku ingin keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dan kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Sufian berkata kesemua 11 suspek direman selama 14 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan jika disabit bersalah boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

– BERNAMA


Pengarang :