Antara orang ramai yang hadir pada Syarahan Perdana bertajuk ‘Kepentingan kitab turath dalam sejarah nusantara dan masa kini’ sempena Festival Turath Islami Selangor di Dewan Solat Utama, Masjid Negeri, Shah Alam pada 29 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peserta teruja sertai festival turath, sifatkan perkongsian ilmu amat menarik

SHAH ALAM, 29 MEI: Para peserta Festival Turath Islami Selangor menyifatkan perkongsian ilmu disampaikan tokoh agama pada program tersebut amat menarik dan luar biasa.

Muhammad Fauzi Amir Shah, 26, dari Medan, Indonesia berkata syarahan perdana oleh Profesor Dr Kiai Said Aqil Siradj yang mencerita pentingnya memahami perbezaan fahaman dalam Islam disampaikan amat menarik.

Muhammad Fauzi Amir Shah, 26

“Ini pertama kali saya datang ke program turath, ia menarik dan ilmu yang dikongsi amat luar biasa. Ini dapat meningkatkan pemahaman dalam pengajian Islam.

“Antara dikongsi ialah dalam Islam ada pelbagai fahaman dan pentingnya kita faham serta dapat membezakannya. Kita harus berpegang dan mengikut satu fahaman sahaja supaya tiada kekeliruan,” katanya kepada Selangorkini.

Muhammad Fauzi antara ratusan peserta yang hadir kuliah Maghrib dan syarahan perdana sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam tadi.

Sementara itu, Muhammad Irfan Muhammad Zaki, 20, berkata beliau teruja untuk hadir ke festival kerana dapat mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam dengan tokoh yang berpengalaman.

Muhammad Irfan Muhammad Zaki, 20

“Ini merupakan saya dan rakan-rakan di Pusat Pengajian Zawiyah Nasiriyyah di Kedah ikuti festival sangat gembira dapat belajar dengan Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah yang merupakan guru kepada pengasas pusat pengajian ini, Syeikh Mohd Nazrul Abd Nasir.

“Banyak yang dapat dipelajari daripada kuliah dan syarahan malam ini antaranya jika kita hendah mempelajari agama pentingnya menuntut ilmu dengan individu yang benar-benar mahir,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Azni Wan Hassan, 65, yang pertama kali hadir ke festival berkenaan turut tertarik dengan kuliah diberikan Baba Ghazali Ahmad al-Fathoni.

Wan Azni Wan Hassan, 65

“Sebelum ini hanya mendengar kuliahnya di laman Youtube sahaja tetapi apabila mengetahui kehadirannya di festival, saya tidak lepaskan peluang.

“Beliau banyak berkongsi bagaimana menjadi umat Islam yang baik. Perlu amalkan apa yang dikongsikan supaya kita dapat perbaiki diri dan amalan kehidupan seharian,” katanya.

Bagi Mizan Adiliah Masrom, 28, berkata beliau hadir ke festival turath untuk mendengar syarahan dan kuliah bersama suaminya.

Mizan Adiliah Masrom, 28

“Sebelum ini pernah ikuti program ini seperti berselawat dan beberapa acara lain. Kali ini kami datang untuk menuntut ilmu daripda tokoh agama terkemuka yang berpengetahuan luas.

“Banyak yang dapat diambil dan diamalkan dalam kehidupan seharian supaya dapat membaiki diri sekaligus meningkatkan pengetahuan,” katanya dari Dengkil.

Festival kali kedua ini berlangsung sejak Ahad hingga 2 Jun dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Dimulakan dengan kupasan Kitab Hadis 40 oleh bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah dan Pameran Al-Wahyu yang membawa manuskrip tulisan tangan berusia ratusan tahun.

Turut berlangsung forum bertajuk Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu yang menampilkan ahli panel Ustaz Muhamad Abdullah, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria dan Ustaz Mohamad Aizuddin Abdul Aziz.

Bertema Mendalami Khazanah Kitab Islam, maklumat program, lokasi serta pendaftaran boleh dibuat menerusi http://www.turathislamselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.

 


Pengarang :