Kerja pembaikan longkang utama (monsoon drain) di Jalan Wawasan, Taman Wawasan, Puchong yang dirakam pada 8 Januari 2024. Foto MBSJ
PBTSELANGOR

Kerja stabil tanah runtuh Taman Wawasan jangka siap akhir tahun

SUBANG JAYA, 30 MEI: Kerja penstabilan cerun di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan, Taman Wawasan, di sini dijangka siap akhir tahun ini.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata kerja mengukuhkan tapak, struktur dan pembinaan longkang kekal sudah mencapai kemajuan 20 peratus.

“Bagaimanapun, penduduk yang rumahnya terjejas dengan bencana alam ini masih tidak dibenarkan pulang dan kami mohon semua bersabar kerana kerja pembaikan mengambil sedikit masa lagi.

“Kita bimbang sekiranya membenarkan penduduk masuk akan berlaku risiko kecelakaan berikutan kawasan kerja pembinaan dan rumah yang terjejas sangat berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBSJ di Ibu Pejabat MBSJ di sini hari ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berucap ketika majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSJ 2023 di Hotel Summit USJ, Subang Jaya pada 8 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kejadian 16 Disember 2023 itu mengakibatkan 29 penghuni di sembilan rumah teres kawasan berkenaan diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.

Kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 pada 7.30 malam itu turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Dalam perkembangan sama, Mohd Fauzi menjelaskan notis senarai nilaian baharu akan diumum dan dikeluarkan kepada pemilik kediaman di Subang Jaya pada pertengahan Jun ini.

“Kita masih mengikut keputusan Kerajaan Negeri maksimum kenaikan tidak melebihi 25 peratus dan sekarang kita sedang menunggu proses nilaian warta baharu.

“Kita jangka nilaian warta itu lulus 13 Jun ini kemudian notis akan dikeluar kepada penduduk dan mereka ada tempoh 36 hari untuk membuat bantahan,” katanya.


Pengarang :