EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (tengah) pada majlis perasmian program Selangor 1000 Digital Siri 1 yang diadakan di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 30 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor 1000 Digital tingkat ilmu usahawan, bantu jana pendapatan

SHAH ALAM, 30 MEI: Kerajaan Negeri memperkenalkan program Selangor 1000 Digital bagi memperluaskan transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata program yang menjelajah lima lokasi itu bermula di daerah Petaling diikuti Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

Beliau berkata, program itu kolaborasi antara Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upen) dan Platform Selangor (PLATS).

“Kita anjurkan program ini untuk memberi pendedahan kepada usahawan di bandar dan luar bandar berkaitan tranformasi digitalisasi supaya dapat menjana pendapatan dan perkhidmatan mereka.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berucap pada majlis perasmian program Selangor 1000 Digital Siri 1 yang diadakan di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 30 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Kita sasar 1,000 usahawan e-dagang termasuk syarikat penstriman langsung di seluruh Selangor. Menerusi program ini terdapat 10 topik latihan antaranya pengurusan perniagaan secara digital dan teknik penciptaan kandungan menarik,” katanya ditemui selepas melancarkan program tersebut di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata pihaknya sentiasa menganjurkan program bagi memberi pendedahan kepada usahawan mengenai dunia digital.

“Sidec kini dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab digital baharu di ASEAN dan setakat ini lebih 80 inisiatif yang memfokuskan kepada transformasi digital.

“Usaha ini berjaya menjana nilai dagangan kasar RM736.12 juta dan memperkasa lebih 70,000 usahawan teknologi, PKS, dan syarikat pemula. Sidec juga kini sedang melaksana program dalam industri semikonduktor yang sedang berkembang pesat,” katanya.


Pengarang :