Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuini kanak-kanak selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur pada 30 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar umum pemberian baucar buku RM100 untuk pelajar sekolah, IPT

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Kerajaan mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 untuk pelajar tahap dua sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Perdana menteri berkata baucar boleh dituntut mulai petang esok termasuk digunakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024  dan cara pemberian akan dimaklumkan pihak berkaitan.

“Pemberian secara bersasar bermula dari darjah empat sekolah rendah, sekolah menengah, jenis kebangsaan dan aliran agama selain institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan guru.

“Inisiatif ini dikembalikan semula bermula esok dengan nilai RM100 bagi menaikkan kegemilangan budaya membaca,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan PBAKL 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bagi memastikan penerima membeli bahan bacaan bermanfaat, Anwar berkata kerajaan akan mencadangkan beberapa judul buku antaranya novel klasik dan karya sasterawan negara.

“Ada judul-judul baharu kita kemukakan antaranya digital. Kita nak anak-anak kita faham asas antaranya industri AI (kecerdasan buatan). Rugi jika anak-anak tidak tahu apa itu AI.

“Kita akan senaraikan judul supaya sebahagian nilai baucar digunkan untuk buku dicadangkan dan sebahagian diberi kelonggaran untuk penerima memilih sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemberian baucar bersasar kepada murid tahun empat dan ke atas bagi mengurangkan tekanan kewangan kerajaan.

“Kita tidak boleh beri kepada semua sekali gus, negara berdepan kekangan ekonomi malah kerajaan ketika ini mewarisi hutang sekitar RM1.5 trilion selain keadaan defisit fiskal negara,” katanya.

 


Pengarang :