Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Pasukan khas ditubuh siasat jemaah haji terkandas di Makkah

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menubuhkan pasukan petugas khas yang berperanan melakukan siasatan dan tindakan awal terhadap aduan jemaah haji negara ini yang terkandas di Makkah.

Pengarahnya Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata penubuhan pasukan itu merupakan tindakan proaktif bagi menangani isu berkenaan.

“Pasukan ini bakal bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan dan memastikan tindakan selanjutnya diambil berpandukan peruntukan undang-undang tertentu, sesuai dengan kesalahan yang dikesan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Lembaga Tabung Haji (TH) masing-masing mempunyai undang-undang berbeza bagi menangani isu berkenaan, bersesuaian dengan kesalahan yang berlaku.

“Justeru, penubuhan Pasukan Petugas Khas ini adalah bagi memastikan sebarang aduan yang diterima, dapat ditangani secara lebih efisien dan berkesan,” katanya.

Ramli berkata pihaknya menerima satu laporan di Negeri Sembilan yang mendakwa terdapat jemaah haji dari Malaysia terkandas di Makkah pada musim haji tahun ini.

Bagaimanapun katanya, siasatan awal setakat ini mendapati isu dalam kes tersebut adalah menjurus kepada bidang kuasa siasatan Lembaga Tabung Haji.

– BERNAMA


Pengarang :