Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim ketika ditemui selepas mesyuarat bulanan di Ibu Pejabat MBSJ, Subang Jaya pada 31 Januari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Mohd Fauzi dilantik Datuk Bandar Shah Alam berkuat kuasa 4 Jun

SHAH ALAM, 30 MEI: Datuk bandar Subang Jaya bakal melapor diri di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 4 Jun ini.

Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim ketika mempengerusikan mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) buat kali terakhir hari ini turut memohon maaf dan berterima kasih kepada semua kakitangan atas kerjasama diberi.

“Terima kasih dan mohon maaf saya ucapkan kepada semua kakitangan MBSJ atas kerjasama serta komitmen penuh diberi sepanjang saya berkhidmat. Kenangan di MBSJ sentiasa dikenang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fauzi turut mempelawa pelajar sekolah rendah dan menengah menyertai Bengkel Koir dan Tarian Kebudayaan Warisan MBSJ 2024.

Beliau berkata bengkel dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dan Dellyn Studio itu akan diadakan di Kompleks 3K SS13, di sini.

Katanya, bengkel itu diadakan dua sesi iaitu 26 hingga 27 Jun manakala sesi kedua 16 dan 17 Julai dengan yuran penyertaan RM10.

“Bengkel ini dilaksana bertujuan memberi pendedahan asas tentang warisan kebudayaan Malaysia yang kaya dengan pelbagai kesenian unik dan menarik.

“Menerusi bengkel ini, peserta akan diperkenal gerak asas salah satu tarian kebudayaan Selangor iaitu Tarian Piring. Mereka juga didedahkan dengan teknik vokal dan nyanyian koir yang betul,” katanya.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi penyelaras program menerusi talian 017-340 7651 (Mohd Marsidi) atau 016-777 2446 (Shammir Horace).


Pengarang :