Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menumbangkan juara bertahan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia pada pusingan kedua Terbuka Singapura pada 30 Mei 2024. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Terbuka Singapura: Leong Jun Hao singkir juara bertahan dari Indonesia

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao melakar kejutan apabila menumbangkan juara bertahan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia pada pusingan kedua Terbuka Singapura hari ini.

Jun Hao, pemain nombor 36 dunia, menewaskan pemain nombor tujuh dunia dan juara dua kali (2022, 2023) 14-21, 21-10, 21-8 selepas pertarungan sengit selama sejam di Stadium Tertutup Singapura untuk mara ke suku akhir esok.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan sulung Jun Hao ke atas Ginting selepas tewas dalam kedua-dua pertemuan sebelum ini – Terbuka Hong Kong 2023 dan Terbuka India 2024.

Bagaimanapun, ujian yang lebih besar menantinya di peringkat lapan terakhir kerana Jun Hao akan menentang juara Masters Malaysia yang juga pemain nombor satu dunia dan pemenang pingat emas Olimpik dari Denmark, Viktor Axelsen.

Axelsen menamatkan kemarau kejuaraan selama enam bulan dengan memenangi Masters Malaysia hujung minggu lalu, menewaskan Lin Chun Yi dari Taiwan 21-16, 14-21, 21-16 pada pusingan kedua hari ini sambil mengintai gelaran Terbuka Singapura yang pertama.

Jun Hao, 24, sebelum ini mengejutkan pemain nombor 28 dunia dari Jepun, Kanta Tsuneyama pada pusingan pertama manakala Ginting memperoleh kemenangan percuma susulan penarikan diri pemain profesional negara Lee Zii Jia susulan kecederaan hamstring dialaminya.

Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengikut jejak Jun Hao apabila menyingkirkan juara bertahan, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark 21-17, 21-18 untuk mara ke suku akhir.

Tang Jie-Ee Wei juga berdepan tugas sukar dalam pusingan lapan terakhir apabila berdepan bakal beregu Sukan Olimpik Paris 2024 dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung, yang menyingkirkan pasangan Jepun Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo 21-19, 18- 21, 21-16.

Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang meraih hadiah perkahwinan apabila menjuarai saingan Masters Malaysia Ahad lalu menarik diri kerana kecederaan ketika ketinggalan 2-20, 11-21, 1-11 kepada juara dunia tiga kali Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

Pasangan pilihan utama China itu akan menentang rakan senegara Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di suku akhir esok.

Dalam acara beregu lelaki, wakil negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menewaskan pasangan China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-13, 21-16 dan akan membuat pehitungan dengan satu lagi pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu bagi merebut slot suku akhir.

– BERNAMA


Pengarang :