SHAH ALAM, 31 MEI: Ratusan penuntut tahfiz termasuk umat Islam dari luar negara mengikuti syarahan disampaikan Mufti Aceh sempena Festival Turath Islami Selangor hari ini.
Program di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini bermula selepas solat Asar dengan syarahan bertajuk Pedoman Menjadi Orang Soleh disampaikan Tengku Faisal Ali.
Syarahan pada festival itu menghimpunkan penuntut tahfiz dari Maahad Al-Auran Ar Rafiq, Kota Damansara; Tahfiz Al-Mizan, Muar; Maahad Al Imam Al Adni, Shah Alam dan Madrasatulquran Darussalamah, Setia Alam.
Dalam syarahan berkenaan, Tengku Faisal berkata ilmu merupakan dasar asas untuk membentuk generasi soleh.
“Tanpa ilmu manusia tidak akan menjadi soleh dan mengenal Allah. Justeru, penuntut ilmu perlu menguasai kitab turath yang ditinggalkan ulama terdahulu,” katanya.
Festival kali kedua yang berlangsung hingga 2 Jun dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dimulakan dengan kupasan Kitab Hadis 40 oleh bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah dan Pameran Al-Wahyu yang membawa manuskrip tulisan tangan berusia ratusan tahun.
Turut berlangsung forum bertajuk Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu menampilkan ahli panel Ustaz Muhamad Abdullah, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria dan Ustaz Mohamad Aizuddin Abdul Aziz.
Bertema Mendalami Khazanah Kitab Islam, maklumat program, lokasi serta pendaftaran boleh dibuat menerusi http://www.turathislamselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.