Kira-kira 2,000 jemaah memenuhi ruang solat utama Masjid Negeri di Shah Alam bagi menyertai Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor pada 31 Mei 2024. FOTO HAFIZ OTHMAN.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

2,000 jemaah sertai Maulid Syarabut, Tausiyah Perdana di Masjid Negeri

SHAH ALAM, 31 MEI: Kira-kira 2,000 jemaah memenuhi ruang solat utama Masjid Negeri di sini bagi menyertai Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor, malam ini.

Program yang bermula selepas solat Maghrib itu diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah.

Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga dari kanan) bersama bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah (dua dari kiri) menghadiri program Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri pada 31 Mei 2024. FOTO HAFIZ OTHMAN.

Majlis dimulakan dengan alunan Maulid Syarabut dan Qasidah disampaikan Kumpulan Darul al-Murtadza dan diteruskan dengan tausiyah bertajuk ‘Baiti Jannati Zaman Digital’ oleh Syeikh Dr Ali.

Amirudin dalam ucapan ringkasnya berkata topik kekeluargaan yang diketengahkan amat dekat dengan masyarakat selain isu pokok dalam membentuk peribadi manusiawi.

“Saya merafakkan rasa syukur kerana kita dapat berkumpul malam ini untuk mengisi program keilmuwan dengan mengulas isu pokok dalam kehidupan kita iaitu kekeluargaan.

“Hari ini di era digital, kita berdepan dengan masukan daripada pelbagai sudut dan ruang, dan sudah pasti tajuk ini sangat penting kerana kita bukan hanya ingin lepaskan diri kita sahaja tetapi juga keluarga kita,” katanya.

Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai 26 Mei hingga 2 Jun ini mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam membabitkan penglibatan ulama tradisional serta ahli akademik.

Festival keilmuwan kali kedua terbabit menampilkan lebih 20 ulama terkenal, tokoh agamawan dan akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura melibatkan 12 acara utama.

Kira-kira 2,000 jemaah memenuhi ruang solat utama Masjid Negeri di Shah Alam bagi menyertai Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor pada 31 Mei 2024. FOTO HAFIZ OTHMAN.

Pengarang :