Foto Facebook MRT Corp
AGENDANASIONAL

MRT laluan Putrajaya alami masalah sistem komunikasi, khidmat tren, bas diaktifkan

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Perkhidmatan tren MRT laluan Putrajaya menghadapi masalah sistem komunikasi ketika ini.

Sehubungan itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan malam ini memaklumkan pihaknya telah mengaktifkan perkhidmatan tren dan bas perantara bagi laluan berikut.

“Tren perantara dari Stesen Kwasa Damansara akan berpatah balik di Stesen Chan Sow Lin manakala perkhidmatan bas perantara di antara Stesen Chan Sow Lin ke Stesen Putrajaya Sentral,” menurut kenyataan itu.

Menurut Rapid Rail, pengguna yang ingin membatalkan perjalanan boleh mendapatkan kupon perjalanan sehala di kaunter khidmat pelanggan dan ia perlu digunakan dalam tempoh lima hari bermula hari ini.

Rapid Rail turut memaklumkan juruteranya sedang giat mengenal pasti punca yang menyebabkan gangguan itu.

“Sila dapatkan perkembangan terkini mengenai status perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya menerusi platform media sosial Rapid KL,” katanya yang turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang.

– BERNAMA


Pengarang :