Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah (dua, kiri) menyampaikan syarahan ketika program Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor di masjid negeri, Shah Alam pada 31 Mei 2024. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan). FOTO HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mufti besar Mesir: Rasulullah teladan terbaik institusi kekeluargaan

SHAH ALAM, 1 JUN: Rasulullah SAW amat menekankan kepentingan institusi kekeluargaan dan perkara itu dibuktikan menerusi pelbagai tindakan dan ucapan Baginda, kata bekas mufti besar Mesir.

Syeikh Dr Ali Juma’ah berkata antara kisah kehidupan Nabi Muhammad yang ramai terlepas pandang adalah Baginda tidak berpoligami sepanjang berkahwin dengan Siti Khadijah.

Menurutnya, Rasulullah hanya mengahwini lebih daripada seorang wanita selepas kewafatan Khadijah kerana situasi ketika itu berbeza berikutan Baginda tidak dikurniakan anak dengan isteri lain.

Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah menyampaikan syarahan ketika program Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor di masjid negeri, Shah Alam pada 31 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Baginda dikurniakan tujuh anak bersama Khadijah dan Baginda tidak menambah isteri kerana menjaga, memelihara dan menghormati hati isterinya selain mahu memberi panduan kepada umat.

“Ketika itu Baginda memiliki anak-anak yang perlu dibesarkan dengan baik, jadi Baginda seakan-akan menghentikan perkara (poligami) walaupun ia halal di sisi Islam,” katanya pada program Tausiyah Perdana, malam tadi.

Program sempena Festival Turath Islami Selangor itu menampilkan Pengarah Akademi Pemikiran Turath al-Mustanir Ahmad Faiz Mohd Khalil sebagai moderator dan Muhammad Noorazam Bahador sebagai penterjemah.

Kira-kira 2,000 jemaah memenuhi ruang solat utama masjid negeri di Shah Alam bagi menyertai Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor pada 31 Mei 2024. FOTO HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Syeikh Dr Ali turut menyenaraikan lapan asbab perceraian yang sering terjadi hasil pemerhatiannya sepanjang 10 tahun menjawat jawatan sebagai mufti besar Mesir bermula September 2003.

Jelasnya, antara faktor terbabit adalah krisis ekonomi, campur tangan keluarga mentua, perubahan perasaan, perbezaan agama, internet, godaan rakan di tempat kerja, masalah hubungan intim suami isteri dan tiada zuriat.

“Segala faktor itu sebenarnya boleh diubati malah boleh dielakkan lebih awal. Kita juga boleh atasinya dengan sabar, akhlak yang baik, kasih sayang, layanan mesra dan perasaan selamat.

“Masalah rumah tangga juga tidak akan terjadi sekiranya seseorang itu meletakkan nilai keluarga sebagai perkara paling utama dalam dirinya,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga dari kanan) bersama bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah (dua dari kiri) menghadiri program Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri pada 31 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Diadakan di Masjid Negeri, program Tausiyah Perdana mendapat sambutan menggalakkan daripada kira-kira 2,000 jemaah selain diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.


Pengarang :