Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor tekad semarak keilmuan turath, pasak kehidupan umat Islam

SHAH ALAM, 1 JUN: Selangor tekad untuk terus menyemarak keilmuan turath sebagai elemen yang menguatkan teras dan pasak kehidupan umat Islam di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata dalam mendepani krisis kemodenan yang pelbagai adalah wajar untuk kembali kepada turath dan tradisi yang menjulang wahyu sebagai rujukan utama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sememangnya sudah sampai ketikanya untuk kita mengemukakan sesuatu jalan yang lebih lurus atau mengembalikan jalan dengan berdasarkan warisan Islam atau turath.

“Turath telah membawa pintu keterbukaan yang dikawal dengan wahyu, dijaga dengan hati dan membentuk perilaku selain melatih minda dengan betul supaya kita dapat menjadi insan kamil,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada pembukaan perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu As Salihin, hari ini.

Berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, seminar yang disempurnakan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihadiri bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah

Pada majlis berkenaan, Anwar turut meluncurkan terjemahan Kitab Ihya’ Ulumuddin (Lima Jilid) dan Hadis 40 Imam an-Nawawi: Sebuah Huraian Untuk Dunia Semasa terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Kitab Ihya’ Ulumuddin dan Hadis 40 pada majlis perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin menambah, tekad menyemarak keilmuan turath disusuli dengan hasrat penubuhan akademi turath di bawah kendalian masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Kita juga telah menyusun silibus dan rancangan pengajian secara talaqqi di masjid-masjid dan pengajian ini akan dilaksanakan pada peringkat permulaan di sembilan daerah.

“Selain meneruskan program dan terjemahan karya klasik, kita akan turut melahirkan kelas-kelas asatizah yang fasih dan mahir dengan kitab turath ini untuk diajarkan kembali di masjid dan surau sekitar Selangor dalam mengisi kekosongan jiwa dan kerohanian masyarakat hari ini,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad bersalaman dengan orang ramai pada majlis perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sebelum ini, berkata Kerajaan Selangor berhasrat memperkenal Akademi Pengajian Turath bagi memastikan pendidikan dalam kitab warisan Islam dilaksana secara berterusan.

Bakal mengetengahkan silibus secara tersusun, menurut Amirudin pengenalan akademi itu juga bakal mencapai impian negeri untuk menjadikan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai gedung ilmu setanding Masjid Al-Azhar di Mesir.

Kira-kira 2,000 jemaah memenuhi ruang solat utama Masjid Negeri di Shah Alam bagi menyertai Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor pada 31 Mei 2024. FOTO HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai pada 26 Mei hingga esok mengupas karya agung Imam an-Nawawi dengan lebih mendalam melibatkan ulama tradisional dan ahli akademik.

Berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, festival itu turut menampilkan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah yang mengupas Kitab Hadis 40.


Pengarang :