Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Kitab Ihya’ Ulumuddin dan Hadis 40 pada majlis perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Imam Nawawi tulis Riyadhu As-Salihin dari hati, perlu dihayati umat Islam

SHAH ALAM, 1 JUN: Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah menyifatkan Imam Nawawi mempunyai hati yang sangat suci sehingga berupaya menghasilkan karya agung Riyadhu As-Salihin.

Beliau berkata kitab berkenaan ditulis dari hati Imam Nawawi sehingga setiap pembaca dapat merasakan ketenangan dan berasa amat dekat dengan penulisnya.

“Kitab ini berbicara tentang manusia dari sudut pemikiran, hati, perbuatan, keperluan diri dan jasad. Imam Nawawi menulis Riyadhu As-Salihin daripada hatinya

“Apabila anda baca kitab ini, anda akan rasa ketenangan dan rasa berhubungan dengan penulis. Ia merupakan panduan amali kepada setiap umat Islam di muka bumi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai panelis pada program Perbualan Khas Imam Nawawi & Riyadhu As-Salihin sempena Festival Turath Islam Selangor 2024 di Masjid Negeri di sini, hari ini.

Program itu turut menampilkan perdana menteri, Dato’ Menteri Besar, dan Pengarah Pusat Kajian Islam Quantum Akhyar Institut Dr Adi Hidayat sebagai panelis serta dimudah cara oleh Dato’ Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Hadis 40 Imam Nawawi perlu difahami dan didalami setiap peringkat umur khususnya golongan belia di negara ini.

“Dalam Hadis 40, ada keperluan untuk memahami asasnya. Kefahaman itu amat penting dan tidak boleh terlepas dari soal nilai.

“Apabila kita berbicara soal ekonomi pun, malah ketika peluncuran teknologi AI di Malaysia baru-baru ini, saya tekankan ia mesti diserasikan dengan adab dan akhlak,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berpandangan kitab turath termasuk Hadis 40 Imam Nawawi kaya dengan ajaran yang boleh menjadi rujukan bagi mendepani pelbagai krisis kemodenan ketika ini.

“(Mungkin) orang tidak ada lagi ketekunan untuk menekuni, menadah kitab setiap hari dan melihat perbincangan ilmiah. Saya rasa ini perlu diperbetulkan melalui hati dan arahnya.

“Saya percaya selaku pimpinan dan mereka yang bertanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat mengembalikan jalur (landasan) ini supaya kita tidak tenggelam dalam krisis kemodenan yang kita depani sekarang,” katanya.

Festival Turath Islam Selangor 2024 yang berakhir esok mengupas karya agung Hadis 40 Imam Nawawi dengan lebih mendalam selain menampilkan 12 acara utama termasuk pameran manuskrip al-Quran berusia hampir 400 tahun.


Pengarang :