Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty bercakap ketika Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin ‘Peradaban Akhlak dari Riyadhu as-Salihin’ sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ulama perlu berani, tegur kemungkaran pemerintah

SHAH ALAM, 1 JUN: Seorang ulama perlu berani menegur dan menyatakan kemungkaran pemerintah, kata pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Prof Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty menjelaskan ulama juga pemimpin masyarakat, perlu bercakap benar dan tanggungjawab yang diberi kepada mereka tidak boleh dikhianati.

“Bicaralah dengan perkara yang benar dan nyatakan perkara mungkar kepada pemerintah, jika dilakukan mereka. Seorang ulama perlu berwibawa. Islam menentang pemerintahan kuku besi.

“Isunya hari ini barangkali ada pemimpin yang tidak sedar pentingnya menjaga keadilan. Keharmonian, perdamaian antara pemerintah dan rakyat sangat penting dalam kepemimpinan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Seminar Penghayatan Riyadhu as-salihin (Sesi 1) : Peradaban Akhlak dari Riyadhu as-Salihin di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena Festival Turath Islami Selangor.

Riyadhu as-Salihin karya Imam an-Nawawi menghimpunkan 1,896 hadis Rasulullah SAW mencakupi aspek kehidupan muslim antaranya kepercayaan, perilaku, adab dan tatacara ibadat.

Panel lain adalah Rektor Institut Studi Islam Fahmina (ISIF) Jawa Barat Indonesia Dr KH Marzuki Wahid, sementara moderator Syeikh Mohd Nazrul Abd Nasir.

Muhammad Nur Manuty yang mengulas isu kepemimpinan berdasarkan kitab Riyadhu as-Salihin turut menjelaskan topik itu antara perkara paling utama disebut dalam hadis Rasulullah.

“Topik pemimpin sangat penting dibicarakan dalam hadis Rasulullah. Dalam hadis ada menyebut setiap seorang daripada kamu adalah pemerintah. Tidak kira anda suami isteri raja pengerusi presiden profesor semuanya bertanggungjawab digelar pemerintah.

“Persoalan kepimpinan ini adalah suatu bebanan syariah, kerana jadi pemimpin bukan untuk dapat kemegahan duniawi. Sedangkan ianya amanah yang besar dan ditanggungjawab pada hari akhirat,” katanya lagi.


Pengarang :