Penyandang Kursi al-Ghazali, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam UIA Prof Emeritus Dr Osman Bakar bercakap ketika Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 2 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kitab Riyadhu as-Salihin panduan hidup atasi kemelut rohani, menuju alam akhirat

SHAH ALAM, 2 JUN: Kitab Riyadhu as-Salihin karya Imam an-Nawawi menjelaskan tujuan dan cara hidup umat Islam khususnya anak muda bagi mengatasi kemelut kerohanian pada zaman moden ini.

Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata bab dalam kitab himpunan hadis Rasulullah SAW itu, disusun teratur dengan menyediakan panduan perjalanan kerohanian menuju alam akhirat.

“Kalau kita bertanya mengenai tujuan hidup kepada 200 orang, maka ada 200 jawapan berbeza. Jadi apa cara hidup atau gaya hidup yang terbaik?

“Bacalah  Riyadhu as-Salihin, lihat betapa kamu akan berjumpa jawapan itu berbanding jawapan daripada ilmu moden.

Penyandang Kursi al-Ghazali, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam UIA Prof Emeritus Dr Osman Bakar (kanan) di Seminar Penghayatan  Riyadhu as-Salihin ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 2 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Apa yang disediakan adalah panduan, sebagai simbol perjalanan rohaniah,” kata beliau dalam Seminar Penghayatan  Riyadhu as-Salihin di Festival Turath Islami Selangor di sini hari ini.

Mengupas tajuk “Memanfaatkan Riyadus Solihin untuk mengatasi kemelut kerohanian”, Osman berkata kitab berkenaan memberi makna tentang Islam, iman dan ihsan untuk menjadi insan sempurna.

Penyandang Kerusi al-Ghazali itu berkata umat Islam perlu mencontohi keinsanan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan dan teladan terbaik untuk mencapai tujuan tersebut.

“Kita mesti pupuk nilai keinsanan Baginda.  Riyadhu as-Salihin membolehkan kita menyuburkan sifat terpuji insan.

“Bab satu hingga bab sembilan, Imam an-Nawawi menyusun sifat utama (antaranya) ikhlas, bertaubat, sabar, siddiq, takwa, yakin, tawakal, istiqamah dan tafakur,” katanya di Dewan Orchid dekat Masjid Negeri di sini.

Justeru, kata beliau, sifat tersebut menjadi kata kunci utama dalam 10 bab terawal dalam kitab tersebut sekali gus memaparkan kebijaksanaan beliau menyusun isi kandungan naskhah agung itu.

“Hadis pertama dalam kitab ini tentang ikhlas. Ada surah al-Ikhlas dalam al Quran yang ditekankan bahawa nilai (kelebihan) ia satu pertiga daripada al-Quran kerana ayat-ayatnya membicarakan keesaan Allah, inti pati tauhid.

“Jadi ikhlas ini menjadi salah satu daripada sebab mengapa Imam an-Nawawi tertarik untuk bermula (kitabnya) dengan ikhlas,” katanya.

Peserta mendengar Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin ketika Festival Turath Islami Selangor di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 2 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut bersama beliau mengupas tajuk itu dalam seminar itu, adalah Habib Jindan bin Novel bin Salin Jindan. Beliau mengakui kemelut yang berlaku di serata dunia ini boleh diselesaikan jika umat Islam kembali kepada ajaran Nabi Muhammad SAW.

“Kalau kalian patuh kepada ajaran Rasulullah SAW, maka kita akan diberi hidayah, kita akan sampai solusi. Pertolongan Allah datang daripada teladan (kita kepada) Nabi Muhammad SAW,” kata pemimpin pondok pesantren Al-Fachriyah di Indonesia.

Peserta mendengar Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin ketika Festival Turath Islami Selangor di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 2 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :