Anggota penguat kuasa ketika menjalankan operasi perobohan Kampung Sri Makmur, Gombak pada 27 Mei 2024. Foto Pentadbir Tanah Gombak
AGENDANASIONAL

Pembangkang jadikan al-Quran bahan politik, fitnah penjawat awam

SHAH ALAM, 2 JUN: Dakwaan puluhan naskah al-Quran dimusnahkan dalam operasi perobohan penempatan setinggan Kampung Sri Makmur, Gombak adalah fitnah keji terhadap penjawat awam dan pegawai keselamatan.

Menyifatkan perbuatan itu melampaui batas, setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar berkata tindakan beberapa pemimpin politik menggunakan isu itu untuk kepentingan masing-masing adalah tidak bertanggungjawab.

A Rahim Ahmad Kasdi yang kesal dengan tindakan itu berkata tindakan pemimpin yang ketagih politik dan menyalahgunakan isu itu pada akhirnya tidak akan membawa sebarang manfaat kepada rakyat.

Katanya, tindakan dua pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempergunakan penduduk kampung dalam persengketaan mereka merebut jawatan dalam pemilihan parti yang bakal berlangsung tidak bermaruah dan seharusnya dihentikan serta-merta.

“Selaku ketua pembangkang di Dewan Rakyat, Parlimen dan Dewan Negeri Selangor, (Datuk Seri) Hamzah Zainudin dan (Dato’ Seri Mohamed) Azmin Ali dua watak yang sentiasa diragui rakyat seeloknya lebih bertanggungjawab dalam hal melibatkan rakyat.

“Sebaliknya, mereka serta Hilman Idham (Ahli Dewan Negeri Gombak Setia) yang terikut dengan tindak-tanduk kedua-dua idola politiknya sanggup melangkaui batas sehingga menyalahgunakan kitab suci al-Quran sebagai bahan politik di Kampung Sri Makmur.

“Saya amat kesal dengan tindakan beberapa pemimpin yang ketagih politik dan menyalahgunakan isu ini semata-mata sebagai gelanggang kempen merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti yang akhirnya tidak akan membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Hamzah ketika ini adalah setiausaha agung Bersatu dan Mohamed Azmin adalah pengerusi Bersatu Selangor.

Semalam, Pentadbir Tanah Gombak memaklumkan operasi perobohan penempatan setinggan di Kampung Sri Makmur dipantau oleh pegawai bertugas dan dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Menurutnya, naskhah al-Quran dan bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran pula dialihkan ke tempat selamat oleh anggota penguat kuasa sebelum operasi bagi mengelak kerugian kepada pemilik selain memelihara kehormatan kitab suci itu.


Pengarang :