KUALA LUMPUR, 2 JUN : Lebih 50,000 orang berkunjung ke Pavilion Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, setakat semalam.
Koordinatornya Zafrullah Aris berkata pelbagai aktiviti dianjurkan bagi menarik orang awam ke reruai tersebut antaranya pameran agensi Kerajaan Negeri dan sesi bual bicara.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/PBAKL34-500x379.jpg.webp)
“Kita turut bawa pasukan Selangor FC untuk menjual jersi mereka sebagai tanda solidariti kepada Faisal Halim dan usahawan Selangor Youth Community untuk mempromosi produk dihasilkan.
“Sama seperti tahun sebelum kita juga menyelitkan segmen Hati dan Minda Sasterawan setiap hari sepanjang program berlangsung bagi mereka berkongsi pengalaman dan kejayaan kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui Selangorkini di sini.
Pavilion Selangor yang dibuka mulai 10 pagi hingga 10 malam turut menampilkan sasterawan dan karyawan seperti Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Dato’ Dr Zurinah Hassan.
Turut diundang sasterawan dan karyawan Daqmie; Ferri Anugerah Makmur; Roslan Madun; Azrul @ Maba; DJ Noramin; Sani Sudin dan Namron.
PBAKL edisi 2024 berlangsung 24 Mei hingga 2 Jun yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menawarkan 969 reruai dan ruang pameran dari penerbit buku tempatan dan luar negara.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/PBAKL1-500x336.jpg.webp)