Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Mawlid Akbar Darul Ehsan Berselawat di Dataran Tapak Karnival Perkarangan Stadium, Shah Alam pada 2 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Kerajaan Negeri pastikan program keagamaan, pembangunan seiring

SHAH ALAM, 2 JUN: Kerajaan Negeri akan berusaha memastikan program keagamaan dan pembangunan fizikal di negeri ini berdiri seiring bagi terus mencapai status negeri maju.

Justeru, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya berhasrat mahu menyemarakkan lagi program keagamaan seperti Festival Turath Islami Selangor pada masa depan.

“Menjadi cita-cita dan hasrat Kerajaan Negeri bukan hanya ingin membangunkan fizikal dan akal masyarakat tetapi cita-cita kita juga ingin bangunkan jiwa dan kerohanian umat dan masyarakat di Selangor.

“Kita juga nak bangunkan manusia yang hatinya tulus, mulus dan murni. Sebab itu pengajian kitab turath dianjurkan setiap tahun di bumi Selangor Darul Ehsan.

“Ia bertujuan untuk membangun manusia yang mempunyai jiwa, mempunyai makna diri dan mempunyai hati nurani bersifat kemanusiaan serta nilai ehsan tinggi sebagaimana dihasratkan dalam sebuah negara Madani,” katanya ketika berucap di program Darul Ehsan Berselawat dan Maulid Akhbar.

Terdahulu, kira-kira 50,000 pengunjung hadir mengimarahkan program penutup Festival Turath Islami Selangor 2024 itu di Dataran Tapak Karnival Stadium Shah Alam di sini, malam ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah dan pendakwah terkenal Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid.

Majlis dimulakan dengan sesi berselawat oleh Habib Ali Zainal Abidin Assegaf dan Kumpulan Az-Zahir disusuli Tausiyah oleh Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid dan Habib Jindan Novel Salim Jindan.

Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai pada 26 Mei mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam melibatkan ulama tradisional dan ahli akademik.

Berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, acara itu turut menyediakan Pameran Al-Wahyu yang mempamerkan kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.

Turut dipamer dalam pameran itu ialah naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah sekitar tahun 1800.

 


Pengarang :