Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tengah) bergambar bersama ahli majlis kanak-kanak Petaling Jaya 2024-2025 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 4 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

30 pelajar dilantik ahli majlis kanak-kanak, bantu MBPJ rancang bandar

PETALING JAYA, 4 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melantik 30 ahli majlis kanak-kanak Petaling Jaya (PJCC) dalam kalangan pelajar berkuat kuasa hari ini hingga 2025.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata PJCC merupakan platform untuk setiap ahli membawa suara kanak-kanak di Petaling Jaya selain terlibat dalam perancangan dan pengurusan bandar.

Mohamad Zahri Samingon menambah pelantikan dibuat merangkumi komuniti Melayu, Cina, India, Orang Asli selain orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpendapatan rendah (B40).

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon bercakap kepada media pada majlis pelancaran Pelan Tindakan Bandar Raya Mesra Kanak-Kanak Petaling Jaya 2030 dan pelantikan Ahli Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya 2024-2025 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 4 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Sebagai contoh, sekiranya terdapat keperluan membina sebuah taman permainan kanak-kanak di kawasan Petaling Jaya, mereka akan mengemukakan cadangan kepada MBPJ untuk pertimbangan.

“Mereka yang dilantik berumur 11 hingga 17 tahun terdiri daripada sekolah rendah dan menengah. Ahli majlis ini turut diberi elaun pengangkutan (RM30) dan mesyuarat (RM50) setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pelan Tindakan Bandar Raya Mesra Kanak-Kanak Petaling Jaya 2030 di Dewan Sivik MBPJ, di sini hari ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tengah) bergambar bersama ahli majlis kanak-kanak baharu pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Raya Mesra Kanak-Kanak Petaling Jaya 2030 dan pelantikan ahli majlis kanak-kanak Petaling Jaya 2024-2025 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 04 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Mohamad Zahri menjelaskan PJCC yang diwujudkan sejak 2009 merupakan komitmen MBPJ melindungi hak kanak-kanak dan memperkasakan mereka menjadi pemimpin bandar di masa hadapan.

“Menjelang tahun 2030, hampir 30 peratus daripada penduduk Petaling Jaya adalah kanak-kanak (202,247 orang)

“Setiap kanak-kanak mempunyai hak membesar dalam persekitaran yang selamat, mempunyai akses kepada kemudahan asas, ruang untuk belajar serta platform untuk suara mereka didengari seperti diperjuangkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF),” katanya.


Pengarang :