Atlet lontar peluru negara Mohd Ziyad Zulkifli bergambar bersama pingat gangsa yang dimenangi dalam acara lontar peluru pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh, Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo pada 9 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Ziyad rindu pingat emas, yakin mampu raih pada Paralimpik Paris Ogos ini

KUALA LUMPUR, 4 JUN: “Saya rindu nikmat pegang emas Paralimpik sekali lagi,” itu luahan jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli kepada Bernama selepas sebelum ini ‘dinafikan’ sebagai pemenang pingat itu pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 34 tahun itu diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa jaguh lempar peluru itu lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Menyifatkan dirinya di tahap terbaik berbanding lapan tahun lepas ketika kali pertama meraih pingat emas edisi Rio 2016, Ziyad kini yakin mampu membawa pulang semula pingat emas itu ke bumi Malaysia di temasya empat tahun sekali itu pada edisi Paris 2024.

“Memang sangat lama ditunggu sebab 2012 gangsa, 2016 emas, 2021 ‘drama’, 2024 insya-Allah semestinya mahu buat penampilan terunggul sebab saya bukan lagi muda (tapi) bersaing dengan orang muda. Saya nak membuktikan umur bukan penghalang selagi kita ada usaha.

“Sebelum ini kalau dapat buat 16.5m ke atas boleh berlapang dada, sekarang kena 17m pun tidak menentukan menang emas (di Paralimpik). Malah rekod Asia 17.43m saya itu tidak menentukan pingat emas jadi kena 17.8m ke atas,” katanya.

Namun Ziyad menjangkakan saingan sengit daripada atlet negara lain seperti Ukraine, Perancis dan Turkiye.

Ziyad sebelum ini menjuarai acara lontar peluru lelaki F20 (kecatatan intelektual) di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun dengan mencatatkan lontaran sejauh 17.43m.

Lebih manis, lontaran di Kobe Universiade Memorial Stadium menyaksikan beliau memperbaiki rekod Asia miliknya sendiri iaitu 17.29m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Penyertaan Ziyad pada Paralimpik Rio 2016 sebelum ini menyaksikan beliau mencatat balingan sejauh 16.84m untuk membawa pulang pingat emas buat Malaysia.

Namun kontroversi pada Tokyo 2022 menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Sukan Paralimpik Paris 2024 akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

– BERNAMA


Pengarang :