EXCO Pelaburan Ng Sze Han bersama delegasi dari Selangor yang menyertai Expo Kelestarian Teknologi Tinggi Tokyo 2024 di Tokyo pada 15 Mei 2024. Foto Facebook Ng Sze Han
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidec: Lapan syarikat pemula sertai sidang niaga di Jepun, teroka pasaran luar

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Lapan syarikat pemula tempatan yang dipilih Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) terus mengorak langkah penting di Program Pitch Malaysia 2024 yang berlangsung di Tokyo.

SIDEC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lapan syarikat itu ialah VirtualTech Frontier, Ejen2U, Zucca, Imagine AI, Vimigo, Voice For Health, Pay Recon dan Eventsize

“Bermula dari 12 hingga 18 Mei, syarikat berkenaan menyertai tiga lawatan tapak industri, mengambil bahagian dalam dua persidangan utama serta terlibat dalam tiga sesi dan 10 pemodal terkemuka selain memanfaatkan tiga sesi rangkaian.

“(Ia) berkesan mempamerkan penyelesaian inovatif mereka dan mendapatkan peluang yang menjanjikan untuk pengembangan serta kerjasama,” menurut kenyataan itu.

Dua persidangan itu ialah SusHi Tech Expo Tokyo serta Startup JAPAN 2024 dan antara sesi rangkaian utama ialah ASEAN TechCrossroads Mixer di Tokyo yang menghimpunkan lebih 60 syarikat pemula teknologi dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Sepanjang tujuh hari di Jepun, syarikat pemula tempatan turut melawat hab inovasi terkemuka Jepun seperti Leave a Nest Japan di Centre of Garage (CoG) tempat inkubasi unik untuk syarikat pemula Deep Tech dan menyertai pelbagai lawatan berkaitan industri termasuk Plug & Play, Kepple Capital dan Kawasaki Business Incubation Center.

Menurut SIDEC inisiatif itu sebahagian daripada usaha berterusan untuk memupuk daya saing global dalam kalangan syarikat pemula tempatan, menyediakan platform untuk mempamerkan inovasi dan meneroka peluang perniagaan antarabangsa.

Delegasi itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor Ng Sze Han yang gembira dengan prestasi syarikat pemula di platform antarabangsa.

“Semangat inovatif dan pengiktirafan yang mereka peroleh menggariskan komitmen Selangor untuk memupuk ekosistem keusahawanan yang teguh,” katanya.

Menurut SIDEC, semasa pertemuan dengan Kerajaan Metropolitan Tokyo, kerajaan negeri Selangor juga berkongsi idea mengenai potensi kerjasama dua hala dengan kerajaan Jepun untuk meningkatkan akses pasaran global bagi syarikat pemula.

Jepun kini menjadi tuan rumah kepada kira-kira 10,000 syarikat pemula, tiga kali lebih banyak berbanding Malaysia.

SIDEC merumuskan bahawa delegasi Selangor bersedia untuk melaksanakan pengetahuan dan jalinan hubungan yang diperoleh semasa Pitch Malaysia Tokyo.

“Acara ini bukan sahaja mempamerkan keupayaan mereka tetapi juga meletakkan Selangor sebagai pemain utama dalam ekosistem pemula global,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :