Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan peluncuran logo Plats Biaya kolaborasi bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 5 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor yakin noktahkan miskin tegar menjelang Julai

SHAH ALAM, 5 JUN: Kerajaan Selangor yakin sasaran menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu menjelang Julai ini mampu dicapai.

Dato’ Menteri Besar berkata setakat ini hanya 245 keluarga masih berada dalam kategori berkenaan  berbanding 861 direkodkan dua bulan lepas dalam sistem eKasih.

“Dengan beberapa inisiatif yang direncana Kerajaan Negeri seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) kita percaya menjelang Julai ini semua miskin tegar itu kita boleh hapuskan (kemiskinan mereka),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Usahawanan Najwan Halimi (dua, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop (dua, kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Dato’ Mearia Hamzah (kiri) dan Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor memegang plakad pada majlis peluncuran logo Plats Biaya kolaborasi bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 5 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ditemui selepas menyempurnakan majlis peluncuran logo PLATS Biaya di sini, Amirudin yakin Sistem Pangkalan Data Utama dapat mengenalpasti mereka yang tercicir dari pangkalan data eKasih bagi memastikan bantu dapat disalurkan.

“Pasti ada yang tercicir. Jadi proses (semakan) ini berterusan setiap suku tahun atau setiap enam bulan kita akan buat semakan untuk pastikan tahap atau kualiti kemiskinan yang kita ada.

“Sepang antara daerah terawal yang berjaya menyelesaikan hampir 100 peratus isu miskin tegar,” katanya.

Selangor melaksanakan lebih 40 skim bantuan menerusi Iltizam Selangor Penyanyang (ISP) menjadikan negeri ini antara tertinggi miliki program kebajikan rakyat.

Inisiatif merangkumi semua aspek penting antaranya pendidikan, kesihatan serta ekonomi yang bertujuan merapatkan jurang dalam masyarakat.

Usaha pembasmian miskin tegar adalah antara agenda utama Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara dapat dinikmati semua pihak tanpa ada yang tercicir.


Pengarang :